Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid: Adun Umno hadir pengumuman calon PN akan disiasat

Umno akan mengambil tindakan terhadap seorang Adun parti itu yang menyertai program PN di Johor malam tadi, kata presidennya Ahmhad Zahid Hamidi.

"Saya akan terima laporan itu dan kita akan lakukan sesuatu," katanya ketika ditemui di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur petang ini.

Dia merujuk tindakan Adun Rembia Muhammad Jailani Khamis ke majlis pengumuman calon PN yang turut dihadiri pengerusi gabungan itu, Muhyiddin Yassin, di Bakri, Johor.

Terdahulu hari ini, Muhammad Jailani mempertahan tindakannya itu dengan berkata ia bukan atas kapasiti sebagai Adun Umno.

Menurut The Star, dia berkata kehadirannya itu bagi pihak NGO Muafakat Nasional yang diterajui bekas setiausaha agung BN Annuar Musa.

“Saya mewakili Annuar (di sini) kerana Muafakat Nasional berpegang teguh dengan kepercayaan kepada perpaduan ummah.

"Kebetulan, semangat yang sama dikongsi oleh PN. Kami percaya perpaduan ini tidak mati dan kami tidak bermusuhan dengan mana-mana parti politik," katanya seperti dipetik.

Annuar menubuhkan Muafakat Nasional selepas dipecat daripada Umno pada Disember lalu. Dia juga sah menjadi ahli PAS pada Jun lalu.

Hari ini Ahmad Zahid hadir ke program Himpunan Solidariti Wanita Bersama Presiden Umno yang turut disertai ketua sayap itu, Noraini Ahmad.

Berikutan pencapaian buruk Umno dalam PRN lalu, timbalan perdana menteri itu dihujani kritikan termasuk pihak dalam BN yang membayangkan dia perlu letak jawatan.

Zahid ingin jumpa akar umbi

Ditanya berkenaan pascanilai pencapaian Umno itu, Zahid berkata ia telah dilakukan ketika mesyuarat biro politik, setelah menerima laporan daripada biro penerangan dan 'war room' parti.

"Kita tidak lagi menoleh kebelakang sebaliknya kita akan mara ke hadapan. Saya sendiri akan turun ke 191 bahagian Umno di seluruh negara dan saya berhajat untuk bertemu bukan sahaja kepimpinan empat peringkat (tinggi) tapi juga ketua cawangan, ketua wanita dan ketua pemuda cawangan.

"Saya harap ini adalah pusingan pertama dan sehingga pusingan kedua (dia) boleh bertemu dengan ahli-ahli di peringkat cawangan," katanya lagi.

Johari Harun

Berhubung kerusi DUN Pelangai di Pahang yang kosong selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Johari Harun minggu lalu, Zahid menegaskan kerusi itu milik Umno dan dia telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail.

"Tentunya kita juga harap semua parti di bawah kerajaan perpaduan untuk bersama-sama, sebagaimana esok kita akan ke Pulai dan Simpang Jeram untuk ketuai jentera BN bantu calon PH di PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram," katanya.

Johari Harun merupakan antara korban nahas pesawat berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam pada 17 Ogos lalu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan penamaan calon bagi PRK Pelangai pada 23 September ini dan hari mengundi pada 7 Oktober.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS