Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
9 premis kotor di Machang diarah tutup 14 hari

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) menutup sembilan premis menjual makanan di Machang selama 14 hari selepsa didapati tidak mencapai tahap kebersihan yang ditetapkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983.

Pengarah JKNK Dr Zaini Hussin berkata tindakan itu dilakukan hasil operasi bersepadu Premis Bersih Siri 08/2023 Bahagian Keselamatan Dan Kualiti Makanan yang melibatkan 62 kakitangan jabatan itu di daerah tersebut, semalam.

"Dalam operasi tersebut, sebanyak 56 premis termasuk kedai makan dan restoran telah diperiksa.

"Sebanyak 86 notis saman di bawah seksyen 32B iaitu memerintahkan kehadiran di mahkamah telah dikeluarkan ke atas pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya dalam kenyataan di Kota Bharu hari ini.

Zaini berkata kesalahan terbanyak yang dikesan adalah berkaitan pakaian pengendali makanan dengan 63 notis saman dikeluarkan.

“Dua puluh tiga lagi kesalahan yang dikesan ialah tidak mempamerkan perakuan pendaftaran dalam premis makanan, tidak mematuhi kehendak yang berhubungan dengan tugas am tuan punya, pemilik atau penghuni premis makanan, kebersihan pengendali makanan, keadaan kesihatan pengendali, gagal mengekalkan kebersihan premis dan lain-lain.

“Semua notis saman di bawah seksyen 32B boleh dibayar kompaun dalam tempoh satu bulan dari tarikh notis dikeluarkan,” katanya.

Zaini berkata pemilik premis makanan yang gagal mematuhi perintah penutupan premis makanan boleh didakwa dan jika disabitkan kesalahan akan dikenakan hukuman penjara tidak lebih lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

"JKNK ingin menegaskan bahawa adalah menjadi tanggungjawab pemilik premis makanan dan pengendali premis makanan untuk memastikan premis mereka bersih setiap masa," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS