Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PM umum peruntukan tambahan RM30j naik taraf jalan Gerik-Jeli
Diterbitkan:  Aug 24, 2023 3:27 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM30 juta bagi menaik taraf Jalan Raya Timur-Barat yang menghubungkan Gerik dan Jeli.

Perdana Menteri berkata dana itu adalah tambahan kepada peruntukan penyelenggaraan jalan berkenaan yang kosnya dianggarkan antara RM80 juta sehingga RM100 juta.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata terdapat banyak permohonan peruntukan bagi penyelenggaraan jalan di seluruh negara dan dia akan mengkajinya dalam Belanjawan Madani kedua yang akan dibentangkan pada Okt ini.

“Tapi hari ini saya boleh lulus tambahan RM30 juta untuk perbaiki jalan,” katanya dalam ucapan melancarkan kempen MyJalan Kementerian Kerja Raya (KKR) di Gerik, Perak hari ini.

Turut hadir Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi dan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad.

Sebelum ini, Nanta mengumumkan RM30 juta peruntukan awal daripada KKR bagi menaik taraf dan menyelenggara laluan tersebut.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan meluluskan peruntukan tambahan penyelenggaraan jalan persekutuan di seluruh Malaysia dengan jumlah RM370 juta pada tahun ini.

Katanya RM300 juta adalah bagi penyelenggaraan jalan persekutuan yang tiada dalam syarat kontrak syarikat konsesi.

“Sebanyak RM20 juta peruntukan khas lagi untuk jurutera daerah dan RM50 juta (bagi) pemasangan dan penyelenggaraan lampu di kawasan risiko tinggi kemalangan,” katanya.

Bukan sekadar tampal jalan

Perdana menteri berkata kerajaan turut meluluskan RM250 juta bagi peruntukan kerja-kerja penyelenggaraan melibatkan kontraktor kecil bumiputera.

Sementara itu, Anwar turut meluluskan sagu hati RM1,000 kepada 87 keluarga pekerja Jabatan Kerja Raya (JKR) yang terlibat dengan pembinaan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) sebagai simbolik menghargai jasa bakti yang dicurahkan mereka.

Anwar turut menyampaikan cenderamata kenangan kepada 37 orang bekas pekerja dan waris keluarga yang terlibat dengan pembinaan JRTB itu.

Pada 21 Mei 1974, serangan pengganas komunis merosakkan puluhan unit jentera berat dan pada 27 Ogos 1974, tiga orang petugas JKR terbunuh semasa bekerja untuk membina laluan berkenaan.

Pada sidang media kemudiannya, Nanta berkata kerja membaiki laluan itu akan dilaksanakan secepat mungkin dengan dikendalikan syarikat konsesi.

“Dengan peruntukan tambahan ini kerajaan boleh membelanjakan bagi kerja-kerja lebih berat, bukan sekadar menampal jalan sahaja kerana jalan ini sudah lama.

“Laluan itu juga boleh dibina semula, mungkin mana-mana kerja yang diperlukan nanti terpulang kepada pihak teknikal apa pembaikan yang perlu dibuat menggunakan peruntukan ini,” katanya.

Ditanya sama ada peruntukan itu turut digunakan bagi menyediakan tambahan lampu jalan berikutan kawasan yang terlalu gelap, dia berkata segala keperluan akan diteliti terlebih dahulu.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS