Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PRK Pelangai pada 7 Oktober
Diterbitkan:  Aug 24, 2023 12:09 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai, Pahang pada 7 Oktober ini.

Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh berkata tarikh penamaan calon dan pengundian awal bagi kedua-dua kerusi berkenaan ialah masing-masing pada 23 September dan 3 Oktober.

Dia berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas di Menara SPR, di Putrajaya bagi membincangkan tarikh-tarikh penting berkaitan PRK berkenaan.

Mesyuarat itu diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi DUN berkenaan susulan kematian penyandangnya Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Allahyarham, 53, merupakan antara 10 mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam, Khamis lalu.

Pesawat malang itu sedang dalam perjalanan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.50 petang.

Johari, tokoh korporat bertanding mewakili BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), menang kerusi DUN Pelangai dengan majoriti 4,048 undi, menewaskan calon Perikatan Nasional (PN) Kasim Samat yang mendapat 3,260 undi, Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada Pakatan Harapan (PH) (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

PRK DUN Pelangai merupakan PRK keempat diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 pada November tahun lepas.

Ghani berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRK DUN Pelangai adalah terkini sehingga DPPR Tambahan Bulan Mei 2023 yang dikemas kini sehingga 17 Ogos 2023.

"DPPR bagi PRK DUN Pelangai mengandungi seramai 16,456 orang pemilih, terdiri daripada 16,417 orang pengundi biasa, 36 orang anggota polis dan tiga pengundi tidak hadir luar negara,” katanya.

Menurut beliau sebanyak RM2.1 juta perbelanjaan diperlukan bagi melaksanakan PRK DUN Pelangai dengan 312 petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses PRK itu, dan seorang pegawai pengurus pilihan raya yang dibantu tiga orang penolong pegawai pengurus telah dilantik bagi melaksanakan proses PRK tersebut.

Dia berkata PRK itu akan menggunakan sembilan pusat mengundi biasa yang mengandungi 30 tempat mengundi dan saluran, dan satu tempat mengundi dan saluran awal.

Ghani berkata pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi bagi PRK DUN Pelangai adalah di Dewan Orang Ramai Felda Kemasul.

Sementara tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 23 Sept sehingga pukul 11.59 malam pada 6 Okt 2023.

"Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuhkan SPR bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen," katanya menambah pasukan itu dianggotai wakil daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan dan wakil calon yang bertanding.

Menurut Ghani urusan permohonan semua kategori undi pos luar negara dan dalam negara bagi PRK itu akan dibuka bermula hari ini secara dalam talian (online).

Tarikh tutup permohonan pula adalah pada 19 Sept bagi kategori 1A (petugas pilihan raya, ahli/ pegawai SPR, polis, tentera dan petugas media), 2 Sept bagi kategori 1B (warganegara Malaysia yang berada di luar negara) dan 5 Sept bagi kategori 1C (agensi/organisasi).

Semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan boleh dilakukan melalui portal di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau hubungi hotline SPR di talian 03-8892 7018/ 7218/ 7124 yang mula dibuka pada 18 Sept.

Ghani menyeru bakal calon PRK berkenaan untuk mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus terlibat atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Pahang sebelum Hari Penamaan Calon untuk memudahkan proses penamaan calon.

Bagaimanapun, kertas penamaan calon yang telah lengkap diisi dan disemak oleh Pejabat Pegawai Pengurus hendaklah dikemukakan oleh calon atau penyokong atau pencadangnya semasa hari penamaan calon di pusat penamaan calon (PPC) yang telah ditetapkan oleh SPR.

Ghani berkata SPR juga menjemput mana-mana agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan yang berminat untuk menjadi pemerhati pilihan raya bagi melihat perjalanan proses PRK bermula dari hari penamaan calon sehingga keputusan pilihan raya diumumkan.

"Mereka dibenarkan untuk membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan pusat penjumlahan rasmi undi serta perlu mematuhi kesemua syarat-syarat pelantìkan yang telah ditetapkan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS