Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang akan diperkenalkan di sekolah awam adalah untuk pelajar Islam sahaja, kata pegawai khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan.
Lim memberitahu Sin Chew Daily perkara itu dijelaskan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek semasa mesyuarat pascakabinet semalam.
"Kursus ini hanya melibatkan guru dan pelajar beragama Islam. Bagi sekolah Cina dan Tamil, hanya pelajar Islam sahaja yang perlu hadir, bukan pelajar bukan Islam. Ini sangat jelas.
"Menteri telah secara terbuka dan jelas menyatakan perkara ini kepada timbalan menteri, ketua setiausaha, ketua pelbagai jabatan, dan lain-lain yang hadir pada mesyuarat pascakabinet," kata Lim.
Pada 19 Ogos lalu, Fadhlina melancarkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi yang bertujuan untuk memupuk nilai-nilai sabda atau hadis Nabi Muhammad di peringkat sekolah.
Modul itu akan diperkenalkan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) sebelum dilancarkan ke sekolah awam lain.
Menurut laporan Bernama mengenai pelancaran itu, Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Omar Salleh berkata modul itu dibangunkan atas saranan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang mahu hadis itu diajar di sekolah.
Omar berkata ini bagi memastikan penghayatan hadis itu bermula di sekolah, memupuk semangat cintakan dan mendalami kefahaman agama khususnya dalam kalangan pelajar Islam.
Artikel Bernama tidak menyatakan pada masa itu jika modul ini untuk pelajar Islam sahaja.
Susulan itu, Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.
MCCBCHST berhujah bahawa Perkara 12(2) dan Perkara 12(3) Perlembagaan Persekutuan menghalang rakyat Malaysia daripada mengambil arahan dalam mana-mana agama selain agama mereka.
Kumpulan itu berkata kerajaan dan menteri pendidikan mesti berpandukan Perlembagaan Persekutuan dan tidak membenarkan agama mempengaruhi dasar pendidikan.