Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Mereka populis' - Veteran DAP bidas 2 wakil rakyat PKR bantah insinerator

Bekas Exco Selangor Teng Chang Khim membidas dua wakil rakyat PKR kerana menyokong pihak yang membantah rancangan projek membina loji insinerator sampah kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) di Rawang.

Menurut tokoh veteran DAP itu, Ahli Parlimen Selayang William Leong dan Adun Rawang Chua Wei Kiat adalah "populis yang merosakkan perancangan".

Dalam hantaran di Facebook, Teng secara sinis menggelarkan Leong dan Chua sebagai "wira rakyat" dan mendakwa pengetahuan mereka berkenaan teknologi dan perkhidmatan awam "masih pada era 1970-an".

Dia berkata tidak produktif bagi wakil rakyat peringkat persekutuan dan negeri untuk mengumpul sokongan orang dan membuat bantahan tanpa memahami isu yang berkenaan atau menyampaikannya menerusi saluran dalaman.

Ketika dihubungi Malaysiakini, Chua berkata dia menghormati pendirian Teng tetapi berkata setiap projek ada kebaikan dan keburukan.

Chua Wei Kiat (dua dari kiri) dan William Leong (dua dari kanan)

Chua berkata dia bimbang jika insinerator itu akan menjejaskan kehidupan penduduk di kawasannya.

Dia juga telah banyak kali membangkitkan perkara itu di sidang DUN, katanya lagi.

"Kita tidak bantah insinerator ini, tetapi pendirian kita adalah anda mesti cari lokasi yang sesuai.

"Jika mereka (Adun lain) rasa infrastruktur ini baik, kami mengalu-alukan mereka untuk pindahkannya di kawasan mereka berbanding membinanya di kawasan saya," katanya lagi.

Sementara itu, Jaringan Rawang Tolak Incinerator (JRTI) berkata teknologi terkini sekalipun tidak menjamin keselamatan penduduk mahupun menghalang pencemaran daripada berlaku.

JRTI juga mengundang Teng untuk melawat tapak yang dicadangkan untuk projek untuk melihat betapa ia dekat dengan sekolah dengan kawasan perumahan.

Namun, Teng berkata pihak yang membantah projek itu perlu bertemu terlebih dahulu dengan wakil kerajaan bagi memahami pelan projek sebelum membuat bantahan.

"Ini tentang memahami teknologi terlebih dulu. Adakah infrastruktur ini, spesifikasi ini, mampu menangani isu (yang mejadi kebimbangan)?" katanya kepada Malaysiakini.

Katanya, penjelasan perlu diminta daripada kerajaan dan pakar, bukannya membuat keputusan hanya berdasarkan beberapa laporan.

Katanya lagi, Chua patut faham bagaimana seorang Adun sepatutnya mengendalikan perkara itu.

Katanya, Chua sepatutnya menghubungi pihak-pihak kerajaan yang terlibat untuk mendapatkan maklumat serta memohon untuk mengunjungi negara yang telah memiliki insinerator seumpama itu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS