Paling Popular
Terkini

Anggota parlimen Petaling Jaya daripada PKR Lee Chean Chung tidak berpuas hati dengan penjelasan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berhubung rampasan buku di sebuah kedai di ibu negara.

Saifuddin semalam berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya merampas dua buah buku untuk siasatan dan tiada sebarang serbuan dibuat.

“Saya fikir Kementerian Dalam Negeri boleh minta penerbit menghantar buku kepada mereka atau beli di pasaran, bukan merampasnya. 

“Jika mereka dapati ada unsur offensif, mereka boleh senarai hitam.

“Ya, ia hanya melibatkan dua buah buku. 

“Tetapi ia juga membentuk ilmu yang didokumentasikan, dan semangat Malaysia Madani mengkehendaki kita merendah diri kepada ilmu dan intelektualisme,” kata Lee kepada Malaysiakini.

Rampasan KDN di Toko Buku Rakyat

Dia justeru memohon KDN menambah baik prosedur operasi piawai supaya selari dengan “semangat Madani”.

Saifuddin dalam sidang media semalam cuba meredakan kemarahan pengkritik dengan berkata KDN hanya dua naskhah buku dirampas tetapi digambarkan seolah-olah satu kedai.

Katanya, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 memberi kuasa kepada mereka bertindak berdasarkan aduan awam.

Katanya, buku-buku itu akan dipulangkan kembali jika siasatan mendapati tiada pelanggaran undang-undang.

Menjawab soalan pemberita, dia malah menyuruh pemilik kedai itu menghantar bil kepada KDN.

Dua buah buku yang dirampas itu ialah Marx Sang Pendidik Revolusioner karya Robin Smalls serta Koleksi Puisi Masturbasi karya Benz Ali.

Benz Ali hari ini menolak penjelasan Saifuddin, antaranya kerana buku Smalls pernah dirampas sembilan tahun lepas. 

Dia juga menolak penggunaan akta mesin cetak yang menurutnya “sangat lapuk”.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS