Paling Popular
Terkini

Sebelas ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelantan dilantik sebagai ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri (exco) mengikut portfolio masing-masing hari ini.

Ia terdiri daripada 10 Adun mewakili PAS dan seorang lagi wakil Bersatu.

Menteri Besar Kelantan Mohd Nassuruddin Daud dalam pengumuman memaklumkan, dia akan menggalas tanggungjawab sebagai exco perancangan, pentadbiran awam, kewangan, ekonomi dan tanah.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohamed Fadzli Hassan pula diberi kepercayaan sebagai exco pembangunan wilayah, sumber asli, integriti, pembangunan insan dan undang-undang.

Bagi portfolio exco pendidikan, pengajian tinggi, teknologi hijau, digital dan inovasi pula, ia diamanahkan kepada Adun Pengkalan Kubur, Wan Roslan Wan Hamat.

Adun Demit Mohd Asri Mat Daud pula dilantik sebagai exco pembangunan Islam, dakwah, penerangan dan hubungan seranta.

Adun Kemahang Md Anizam Ab Rahman dilantik sebagai exco pelaburan, perindustrian, sumber manusia, perdagangan dan keusahawanan.

Bagi portfolio kerajaan tempatan, perumahan, kesihatan dan alam sekitar digalas oleh Adun Guchil Hilmi Abdullah.

Adun Kijang Dr Izani Husin menggalas tangungjawab sebagai exco kerjaraya, infrastruktur, air dan pembangunan luar bandar.

Bagi exco kebajikan, pembangunan keluarga dan wanita digalas oleh Adun Tanjong Mas, Rohani Ibrahim, manakala exco belia, sukan NGO dan perpaduan masyarakat digalas oleh Adun Apam Putra, Zamakhshari Muhamad.

Adun Selising Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail pula dilantik sebagai exco pertanian, industri agromakanan dan komoditi.

Sementara itu Adun Ayer Lanas yang juga pengerusi Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor dilantik sebagai exco pelancongan, kebudayaan, kesenian dan warisan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS