Aktivis Arun Dorasamy meminta pengundi India tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 12 September.
Katanya, ia sebagai tanda protes masyarakat India terhadap tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang baru-baru ini mengislamkan seorang lelaki di sebuah masjid.
"Saya mulakan gerakan (protes) dengan menyeru pengundi India boikot PH-BN dalam PRK Pulai dan Simpang Jeram.
"Ini tidak bermakna saya meminta pengundi India sokong PN.
"Ini adalah satu petanda bahawa masyarakat India tidak berpuas hati dengan kerajaan hari ini," katanya kepada Malaysiakini.
Semalam, Arun dipanggil memberi keterangan oleh pihak polis berhubung klip video TikTok yang disiarkannya yang mempersoalkan tindakan Anwar membantu saudara baru dalam proses lafaz kalimah syahadah di Klang, baru-baru ini.
Untuk rekod, parlimen Pulai mempunyai 20,555 pengundi India atau 12.30 peratus daripada jumlah 167,108 keseluruhan pengundi. Pengundi Melayu dan Cina adalah masing-masing 73,814 dan 67,635. Manakala lain-lain adalah sebanyak 5,104.
Jumlah pengundi di DUN Simpang Jeram adalah 40,488 undi.
PRK Pulai dan Simpang Jeram diadakan susulan kematian penyandangnya Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub.
Sementara itu, Arun berkata bahawa dia membuat klip video di TikTok itu selepas tidak puas hati dengan tindakan Anwar selaku perdana menteri negara yang menurutnya perlu bebas daripada sebarang aktiviti agama.
"Perdana menteri telah memulakan satu duluan yang baru bahawa sesiapa sahaja boleh menukar agama sesiapa sahaja termasuk penjawat awam, guru, pengetua, malah pelajar tua di sekolah dan kolej.
"Sekurang-kurangnya sebelum ini ada satu ketetapan bahawa pengislaman dilakukan oleh imam atau oleh Jakim sahaja.
"Tindakan Anwar jelas tidak menjaga sensitiviti dan sentimen Hindu dan kaum India di negara ini," katanya.
Namun, dia mengulangi bahawa dia tidak pernah mempersoalkan hak pemuda itu untuk menukar agama.
"Isunya ialah bagaimana perdana menteri boleh melakukan demikian," katanya.
Semalam, Arun dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada jam 10 pagi semalam dan disiasat kira-kira setengah jam hingga satu jam.
Menurut peguamnya Rajesh Nagarajan Arun disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (CMA).