Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiga calon bertanding rebut jawatan presiden Singapura

Tiga individu yang layak menjadi calon Pilihan Raya Presiden Singapura berjaya melalui proses penamaan calon hari ini.

Mereka ialah bekas Ketua Pegawai Pelaburan Kumpulan GIC Pte Ltd Ng Kok Song, bekas Ketua Pegawai Eksekutif NTUC Income Insurance Co-operative Ltd Tan Kin Lian dan bekas Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Tan Meng Dui  di pusat penamaan calon di Ibu Pejabat Persatuan Rakyat (PA) King George’s Avenue.

Pilihan Raya Presiden Singapura ditetapkan pada 1 Sept 2023.

Selepas pengumuman itu, setiap calon diberikan dua minit untuk menyampaikan ucapan terima kasih kepada penyokong mereka yang berkumpul sejak 10 pagi.

Menurut Ng, beliau bertanding jawatan Presiden bagi melindungi tiga khazanah Singapura yang merangkumi pentadbiran awam yang baik.

"Saya telah bekerja selama 45 tahun dalam perkhidmatan awam. Saya mempunyai pengalaman dan pengetahuan yang diperlukan untuk menegakkan integriti jawatan perkhidmatan awam," katanya.

Bagi Shanmugaratnam, beliau mahukan "pertandingan yang adil, bermaruah dan terhormat yang memberi tumpuan kepada apa yang kita boleh tawarkan kepada rakyat Singapura serta masa depan kita."

“Kita bimbangkan mengenai masa depan yang berbeza, yang lebih sukar dan mencabar. Saya bertanding untuk menawarkan pengalaman dan keupayaan saya di lapangan selama beberapa dekad di peringkat nasional dan antarabangsa,” katanya.

Sementara itu, Tan berkata beliau mahu memberi peluang kepada rakyat Singapura untuk mengundi presiden yang "benar-benar bebas daripada kerajaan yang memerintah."

"Jika saya dipilih, saya akan menjalankan tugas bersungguh-sungguh, jujur dan sebaik mungkin, seperti yang ditetapkan dalam perlembagaan. Tugas-tugas ini adalah untuk melindungi dan menegakkan integriti perkhidmatan awam," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS