Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kanak-kanak akan dipindahkan dari depoh tahanan imigresen
Diterbitkan:  Aug 22, 2023 3:52 PM
Dikemaskini: 7:52 AM

Sebanyak 80 kanak-kanak warga asing yang kini berada di depoh tahanan imigresen akan dipindahkan ke sebuah pusat penjagaan yang lebih kondusif dalam projek rintis yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau berkata kerja-kerja penyediaan pusat penjagaan berkenaan di sebuah lokasi yang telah dikenal pasti sedang giat dijalankan dan hanya beberapa penambahbaikan yang sedang dilaksanakan termasuk penyediaan logistik asas seperti bekalan air dan elektrik serta tempat tidur.

“Kanak-kanak yang bakal dipindahkan itu kini berada di depoh tahanan sementara Semenyih, Bukit Jalil dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) … mereka yang dipindahkan termasuk penjaga atau ibu bapa mereka,” katanya dalam sidang media selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata inisiatif pusat penjagaan berkenaan dilaksanakan di bawah Jabatan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) kerana melibatkan aspek kawalan dan penjagaan.

Saifuddin Nasution berkata pelaksanaan projek itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang penambahan anggota kerana penugasan akan disesuaikan dalam kalangan pegawai sedia ada, serta melibatkan kos pelaksanaan yang minimum.

“Kami berharap langkah ini akan mendapat dukungan juga daripada masyarakat sivil yang lain,” katanya yang mengalu-alukan penglibatan badan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu terutamanya dari segi pendidikan.

Terdahulu dalam ucapannya, Saifuddin Nasution menggesa Jabatan Imigresen supaya mendapatkan mesin pencetak pasport berkapasiti tinggi bagi mengurangkan kesesakan di pejabat pengeluaran pasport.

“Hanya kira-kira 400 pasport dikeluarkan oleh pejabat pengeluar setiap hari dan jumlah itu harapnya dapat ditingkatkan kepada 1,000 cetakan pasport sehari. 

“Kalau yang hadir itu nombor gilirannya 401 dan kena datang semula esok, siapa yang tidak marah,” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS