Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Saya dah buntu, tolong saya PM’
Diterbitkan:  Aug 22, 2023 3:27 PM
Dikemaskini: 8:35 AM

Seorang individu yang ditahan pada November lalu, sejurus selepas dia memberi amaran bahawa kandungan menghasut sedang disebarkan di TikTok, merayu kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk mendapatkan bantuan.

Zulfadzli Halim memohon pemimpin negara untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesnya, dengan mendakwa bahawa pihak berkuasa tidak menghiraukannya.

Kisahnya bermula pada 21 Nov tahun lalu, dua hari selepas pilihan raya umum ke-15.

Zulfadzli menghantar ciapan mengenai penemuan dan kebimbangannya bahawa ucapan kebencian dan kandungan provokasi bermotifkan perkauman - termasuk ancaman rusuhan 13 Mei 1969 akan berulang - tersebar  di platform media sosial.

Paparan dan rakaman skrin yang diambil olehnya dan netizen lain membawa kepada penemuan bahawa sekurang-kurangnya tiga daripada kandungan provokatif di TikTok itu adalah berbayar.

Bagaimanapun, sebaliknya, polis bertindak ke atas Zulfadzli dan menyiasatnya bawah Akta Hasutan - atas tuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong.

Dia menafikan melakukan sedemikian dan mencabar  bahawa polis tidak dapat menentukan ciapannya yang mana yang menghina Seri Paduka Baginda.

Dia dibebaskan tiga hari kemudian.

Zulfadzli berkata bahawa sehingga hari ini akaun TikTok yang ditandakannya kerana menyiarkan kandungan berbahaya masih beroperasi.

Sementara itu, kesnya masih belum selesai dan menjejaskan mata pencariannya.

Zulfadzli berkata pegawai penyiasat, yang memaklumkan  kes itu akan dirujuk kepada peguam negara, hanya berdiam diri.

Usaha menghubungi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Ramkarpal Singh dan pembantu Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail juga tidak berjaya, tambahnya.

Setelah kehabisan pilihan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kesnya, Zulfadzli memohon bantuan Anwar.

“Saya dah buntu. Nak ikut saluran yang betul, entah apa saluran lagi. 

“Sementara YAB DS @anwaribrahim sedang mendengar ni, saya mohon jasa baik untuk bantu.

“Bukan apa, untuk kembali bekerja saya perlu masuk ke fasiliti berisiko tinggi yang perlukan kebenaran KDN,” katanya dalam satu siri ciapan hari ini.

Zulfadzli - yang diberhentikan semasa pandemik Covid-19 - melahirkan kebimbangannya sekiranya kes itu masih belum selesai, ia akan menyukarkannya untuk mendapatkan pekerjaan baharu dalam industri penerbangan dan menyara keluarganya.

Dia mahu kesnya ditutup supaya dia boleh meneruskan kehidupannya.

“Saya tak minta yang pelik-pelik,  saya minta ikut proses dan ingin tahu apa status kes saya ini. 

“Kalau betul ada kes dan saya tak lepas vetting KDN, saya pun tak mau buang masa mohon kerja aviation. 

“Jual rojak buah tepi jalan sajalah. Saya memang pandai buat kuah rojak. Insya-Allah sedap,” katanya lagi.

Mengimbas kembali tindakan polis terhadapnya, Zulfadzli berkata dia dalam perjalanan ke Padang Serai untuk hari penamaan calon apabila rumahnya diserbu pada jam 11 malam.

Di sebalik dimaklumkan bahawa dia tiada di rumah, katanya, anggota polis tetap menggeledah seluruh rumah, termasuk bilik tidur anak perempuannya, dan menyelongkar almari untuk melihat jika dia ada bersembunyi.

Apabila polis akhirnya menghubunginya, dia bersetuju untuk berjumpa mereka dengan segera dan membuat perjalanan ke ibu pejabat polis daerah Ampang. Dia tiba kira-kira jam 1 pagi.

“Sepanjang pagi tiada apa soalan, melainkan mereka tanya tweet mana yang menyebabkan saya dilaporkan dan telefon saya dirampas untuk bantu siasatan,” katanya.

Zulfadzli menambah, dia menghabiskan masa selama tiga malam di lokap polis, tetapi hanya dua jam untuk proses  dan disoal siasat polis.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS