Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Kami pergi ambil dua buku saja, bukan rampas satu kedai'
Diterbitkan:  Aug 22, 2023 2:56 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Menteri Dalam Negeri,  Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan rampasan dua naskhah buku daripada sebuah kedai di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Katanya, tindakan bahagian penguatkuasaan dan kawalan KDN itu adalah berdasarkan aduan orang awam.

"Jadi bertindak di atas aduan, kami pergi ambil dua buku itu saja dan tujuannya untuk penyelidikan, penelitian, semakan kalau isi kandungannya itu bertentangan dengan aspek yang diperuntukkan dalam undang-undang," katanya pada sidang media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan KDN di Putrajaya, hari ini.

Saifuddin berkata dua naskhah buku yang diambil bertajuk Marx Sang Pendidik Revolusioner dan Koleksi Puisi Masturbasi itu adalah untuk diselidiki dan diteliti jika isi kandungannya yang mengandungi unsur boleh menggugat ketenteraman awam.

"Istilah lebih tepat ialah kami pergi ambil dua buku saja, bukan (rampas) satu kedai, konotasi dibuat kononnya satu kedai dirampas sedangkan kami bertindak atas aduan awam,” katanya.

Saifuddin berkata demikian ketika mengulas mengenai bidasan pemilik Toko Buku Rakyat, Benz Ali atau nama penuhnya Amir Hamzah Akal Ali yang meluahkan rasa kecewa dengan tindakan kerajaan itu.

Dakwa, dia hanya menjual buku-buku yang tidak tersenarai dalam senarai buku yang dilarang dijual.

Turut menyelar rampasan dua buah buku itu adalah Pemuda PKR (AMK) yang menyifatkan tindakan berkenaan sebagai pilih kasih terhadap perbahasan idea.

Naib ketuanya Tyra Hanim Razali berkata, pertentangan idea perlu dimaknai dalam Malaysia Madani dan tidak harus menjadi hanya “lip service” (cakap kosong).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS