Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
NGO, jabatan agama lebih sesuai Islamkan saudara baru - Wan Salim

Mufti Pulau Pinang, Wan Salim Wan Mohd Noor, berpendapat tindakan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengislam saudara baru tidak perlu diperbesar sehingga menjadi polemik.

Bagaimanapun Wan Salim berpendapat, untuk mengelak sebarang kontroversi tugas mengislamkan mana-mana saudara baru seeloknya diserahkan kepada pihak lain.

Pada masa sama tokoh agamawan berkenaan berkata, ada kemungkinan Anwar bertindak sedemikian tanpa dirancang lebih awal atau dia mendapat permintaan daripada pihak tertentu pada hari kejadian.

"Pada prinsipnya tindakan perdana menteri mengislamkan seseorang warganegara tidak perlu diperbesarkan dan dijadikan bahan polemik.

"Mungkin perdana menteri bertindak demikian kerana melayan permintaan pihak tertentu," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) menyatakan rasa kesal atas tindakan Anwar mengislamkan seorang pemuda secara terbuka di Masjid India Klang, baru-baru ini.

Sebagai pemimpin negara, kata KLSCAH, Anwar perlu mempertimbangkan sama ada tindakannya selari dengan keperluan menjaga ketenteraman penduduk dan sentimen rakyat daripada semua latar belakang kaum, atau tidak.

Dakwa NGO itu lagi pembabitan terbuka perdana menteri dan kejadian itu dimuat naik di media sosial menunjukkan dia kurang sensitiviti agama.

Kata Wan Salim tugas mengislamkan seseorang boleh dilakukan oleh pihak lain termasuk pihak berkuasa agama sesebuah negeri atau NGO yang terlibat dalam kegiatan dakwah.

Langkah itu, tambahnya, dapat menghindarkan perdana menteri daripada pertikaian yang tidak perlu.

"Perdana menteri ada banyak tugas berat lain yang perlu dibereskan," katanya.

Wan Salim juga berharap kejadian pada 18 Ogos lalu tidak menimbulkan sebarang keresahan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Semoga isu ini tidak menyebabkan suasana tidak baik membawa keretakan hubungan sama ada dalam keluarga atau sesama rakan-rakan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS