Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, hari ini menggesa semua ahli politik berhenti daripada amalan mencaci dan sebarang tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
Sebaliknya, titah baginda, tumpuan perlu diberikan kepada usaha memajukan kehidupan rakyat dan memakmurkan negara.
Menurut Sultan Sharafuddin tindakan ahli politik yang menggunakan kata-kata kesat lagi biadab menunjukkan ketika ini perasaan hormat mereka kepada institusi diraja semakin terhakis.
"Sikap biadab mereka ini telah melangkaui batas-batas dan nilai keperibadian orang Islam dan Melayu yang sering dipelihara.
"Ingatlah - jangan kerana kita menyangka bahawa kita cukup popular di kalangan rakyat sehingga bertindak memperlekehkan sesiapa yang tidak sehaluan dengan fahaman politik masing-masing, malah sanggup pula hadir ke negeri Selangor dengan melemparkan cacian melampaui batas.
"Ke mana hilangnya budi bahasa? Ini bukan budaya kita khususnya orang Melayu untuk menghina sesiapa pun khususnya di khalayak ramai," titah baginda.
Sultan Sharafuddin bertitah demikian pada majlis mengangkat sumpah jawatan menteri besar Selangor dan anggota exco kerajaan negeri di Istana Alam Shah, Kelang hari ini.
Adun Sungai Tua, Amirudin Shari, hari ini diperkenankan oleh Sultan Sharafuddin untuk dilantik semula sebagai menteri besar Selangor buat penggal kedua.
“Peliharalah adab dan susila kita, apatah lagi apabila kita bertandang ke negeri atau rumah orang,” titah Sultan Sharafuddin lagi.
Pada 18 Julai lalu Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor didakwa di Mahkamah Sesyen Selayang atas satu pertuduhan mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung pelantikan Amirudin.
Jauhi amalan rasuah
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu berkata demikian semasa menghadiri ceramah politik di Stadium Selayang, Selangor.
Sanusi mendakwa seseorang sultan yang "hebat" tidak akan melantik orang seperti Amirudin sebagai menteri besar.
Selain menganggap Amirudin sebagai "cokia" Sanusi juga menggelar naib presiden PKR itu sebagai "inci pun tak berapa nak cukup."
Ia mendorong pelbagai pihak termasuk ahli Dewan Diraja Selangor membuat laporan polis dan menggesa tindakan diambil ke atas Sanusi.
Sanusi juga berdepan satu lagi pertuduhan membabitkan institusi diraja apabila dia didakwa mengeluarkan kata-kata menghasut berhubung isu penubuhan kerajaan perpaduan.
Dia didakwa mengeluarkan kenyataan menghina Yang di-Pertuan Agong apabila mempertikai penubuhan kerajaan perpaduan yang kononnya tidak dititahkan Seri Paduka Baginda.
Sanusi, 48, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan berkenaan.
Sultan Sharafuddin turut bertitah, semua wakil rakyat perlu menjaga integriti masing-masing dan hal itu sudah diperingatkan oleh baginda berkali-kali.
Pun begitu titahnya ia perlu ditekankan sekali lagi agar ia tiada perbuatan yang tidak diingini berulang.
"Jauhilah diri dari segala perbuatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa bagi kepentingan diri sendiri atau pihak-pihak tertentu semasa melaksanakan tugas mentadbir negeri," katanya.