Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) kesal dengan tindakan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim secara terbuka mengislamkan seorang pemuda di Masjid India Klang, baru-baru ini.
“Sebagai pemimpin negara, dia harus mempertimbangkan sama ada tindakannya selari dengan ketenteraman penduduk dan sentimen rakyat daripada semua latar belakang kaum.
"Penyertaan terbuka perdana menteri dalam penukaran agama dan hantaran gambar (majlis itu) oleh beliau di media sosial sudah tentunya menunjukkan kurangnya sensitiviti agama," kata pertubuhan itu dalam kenyataan petang ini.
KLSCAH berkata walaupun Perkara 11 Perlembagaan Persekutuan menjamin kebebasan beragama, Anwar sebagai perdana menteri tidak seharusnya mengislamkan individu daripada kaum lain.
“Tindakan ini bukan sahaja menimbulkan rasa tidak selesa dalam kalangan masyarakat bukan Islam tetapi juga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Sebagai pemimpin yang mewakili pelbagai kumpulan etnik dan ketua parti politik pelbagai etnik, perdana menteri harus mempertimbangkan dengan teliti sama ada melakukan pertukaran agama secara terbuka bertujuan untuk menunjukkan hala tuju tertentu negara atau untuk menegakkan nilai-nilai tertentu.
“Dari sudut lain, mungkinkah ada implikasi lain atau agenda tersembunyi di sebalik perbuatan ini?” soalnya.
Sebelum ini, Anwar turut menerima kritikan berhubung majlis berkenaan.
Bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy berkata tiada seorang pun perdana menteri sebelum ini melakukan hal seperti itu.
"Tak dapat dibayangkan Anwar mengislamkan seorang pemuda Hindu di sebuah masjid di Klang. Tiada perdana menteri lain yang melakukan perkara itu sebelum ini.
“Kenapa perlu mengislamkan pemuda Hindu dan apakah keistimewaan penukaran agama ini untuk Anwar?” soalnya.
Presiden Yayasan Hak Asasi Manusia Global (GHRF) S Shashi Kumar berkata sebelum ini orang bukan Islam sering diminta menjaga sensitiviti orang Islam.
Bagaimanapun katanya, Anwar sendiri gagal mengambil kira sensitiviti orang bukan Islam.
“Tiada siapa yang mempersoalkan hak pemuda itu untuk memeluk Islam. Tetapi adakah wajar anda, Anwar, selaku perdana menteri Malaysia mengendalikan majlis itu?” soalnya.
Pada 2015, exco Pemuda Umno ketika itu Fathul Bari Mat Jahaya memaklumkan Najib Razak, yang ketika merupakan perdana menteri, telah membantu mengislamkan seorang juruhebah radio.
Fathul Bari ketika itu menjawab kritikan mengenai prosedur jabatan hal ehwal Islam Malaysia yang menyukarkan seseorang untuk memeluk Islam.