Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis tahan dua suspek jual bintang, lencana darjah kebesaran Pahang

Dua suspek dipercayai terbabit dalam aktiviti penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri  Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran sudah ditahan 8 Ogos lalu. 

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman berkata, suspek berusia 40  dan 52 tahun itu ditahan dalam dua serbuan berasingan, di Puchong, Selangor dan Jalan Tunku Abdul Rahman, Kuala Lumpur. 

"Kedua lelaki itu juga sudah direman selama empat hari, bermula 9 hingga 12 Ogos lalu, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. 

"Kita juga merampas beberapa barang kes melibatkan aktiviti penjualan lambang seperti pelekat stiker kereta dan Jata Negeri Pahang. 

"Buat masa ini kita sedang melengkapkan siasatan dan jika sabit kesalahan, kita akan membuat pertuduhan," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini. 

Terdahulu, Yahaya menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Pahang. 

Pada majlis itu, Noor Hisam Nordin dilantik semula sebagai Timbalan Ketua Polis Pahang berkuatkuasa 30 Ogos ini selepas bertugas sebagai Komandan Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Jawatan berkenaan sebelum ini dipangku Datuk Mohd Yusri Othman yang juga Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pahang selama hampir tujuh bulan.

Pada 11 Julai lalu, polis Pahang menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan dan siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai persediaan polis Pahang bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) dewan undangan negeri (DUN) Pelangai di Bentong, Yahaya menjelaskan polis bersiap sedia dari segi jumlah keanggotaan dan aset jika ia diadakan.

Bagaimanapun, jelasnya, pihaknya menunggu pengumuman rasmi tarikh penamaan calon dan pengundian dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Kita Polis Kontinjen Pahang siap sedia pada tarikh berkenaan jika PRK diadakan.

"Persediaan itu membabitkan jumlah keanggotaan dan aset untuk memastikan keselamatan di PRK berkenaan," katanya.

Hari ini, Yang Dipertua DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsuddin menyerahkan notis kekosongan DUN Pelangai kepada SPR berikutan kematian penyandangnya, Johari Harun.

Notis itu diserahkan kepada Pengarah SPR Pahang, Zamree Hamli pada jam 11.30 pagi, di Wisma Sri Pahang, di Kuantan. 

 Khamis lalu, penyandang DUN Pelangai, Johari antara 10 individu yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina, Shah Alam.

Allahyarham Johari yang juga Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Pahang adalah seorang tokoh korporat berjaya sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 lalu. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS