Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Bersatu dapat tiga daripada 10 jawatan exco Kedah
Diterbitkan:  Aug 21, 2023 12:37 PM
Dikemaskini: 7:27 AM

Di sebalik tambahan lima kerusi yang dimenangi Bersatu pada pilihan raya negeri 12 Ogos lalu, parti itu hanya diberikan tiga jawatan exco dalam kerajaan negeri Kedah berbanding lima wakil sebelum ini.

Exco Bersatu, yang mengangkat sumpah hari ini, adalah Halimaton Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).

Semalam, Berita Harian, yang memetik sumber, melaporkan Bersatu tidak berpuas hati dengan isu pembahagian jawatan itu.

Kesemua sepuluh Adun Kedah yang dilantik sebagai exco  mengangkat sumpah di hadapan Sultan Kedah Al-Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah di Balai Mengadap Besar, Istana Anak Bukit, di Alor Setar bermula pukul 10 pagi.

Hanya tiga exco daripada barisan terdahulu dikekalkan bagi penggal ini termasuk Halimaton, Mohamad Yusoff @ Munir Zakaria (Kuala Nerang) dan Siti Ashah Ghazali (Merbau Pulas).

Antara muka baharu mengangkat sumpah hari ini termasuk bekas naib canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) Haim Hilman Abdullah (Jitra) dan bekas ketua pasukan bola sepak Kedah Muhammad Radhi Mat Din (Alor Mengkudu).

Pada pilihan raya negeri minggu lepas, PN meraih majoriti besar apabila menang 33 dari 36 kerusi DUN di Kedah.

Dari jumlah kerusi berkenaan, Bersatu memenangi 11 kerusi manakala satu kerusi turut dimenangi oleh sekutu PN, Gerakan.

PAS pula memenangi 21 kerusi, yang disifatkan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya, sebagai satu kejayaan yang bersejarah.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS