Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Gerakan bantah negeri PN guna tema, logo berbeza
Diterbitkan:  Aug 20, 2023 7:45 PM
Dikemaskini: Aug 21, 2023 12:44 AM

Gerakan membantah cadangan Pemuda PN agar Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis menggunakan logo dan tema berbeza bagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Presiden Gerakan Dominic Lau dilaporkan tidak bersetuju dengan cadangan Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari dan berkata sambutan Hari Kebangsaan tidak sepatutnya dipolitikkan.

Lau yang juga timbalan pengerusi PN berkata dia telah menyuarakan bantahan itu ketika mesyuarat pimpinan pusat gabungan itu.

“Fadhli membuat cadangan itu kerana kami lihat kerajaan persekutuan mempolitikkan tema (Hari Kebangsaan) dengan menggunakan istilah seperti ‘Madani’ dan ‘perpaduan’.

“Ia adalah (langkah) balas (Fadhli), tetapi dia tidak boleh buat apa-apa kerana bukan ketua menteri atau menteri besar,” katanya ketika sidang media di Teluk Kumbar, Pulau Pinang hari ni, seperti dipetik Free Malaysia Today.

Semalam, Fadhli berkata empat negeri yang ditadbir PN mungkin menggunakan logo dan tema berbeza, iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo berunsurkan bunga raya.

Pada Mei lalu, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan tema “Malaysia Madani: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” akan digunakan bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia tahun ini.

Terdahulu, beberapa pemimpin kerajaan juga mengkritik cadangan Fadhli, antaranya Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi yang berkata Hari Kebangsaan bukan soal politik, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim yang menyifatkannya sebagai "tidak patriotik".


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS