Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bersatu tak puas hati agihan jawatan exco Kedah'
Diterbitkan:  Aug 20, 2023 6:29 PM
Dikemaskini: Aug 21, 2023 12:39 AM

Kerajaan Kedah dijangka mengangkat sumpah dalam barisan exconya esok (Isnin), tetapi Bersatu dilaporkan tidak berpuas hati dengan isu pembahagian jawatan.

Memetik sumber, Berita Harian melaporkan Bersatu hanya akan mendapat tiga jawatan exco iaitu berkurangan berbanding jumlah jawatan yang dipegang sebelum ini.

"Kami sangat kecewa dan kesal apabila dimaklumkan hanya diperuntukkan tiga jawatan exco sedangkan pada penggal lalu, kami diberikan lima jawatan (exco dan juga jawatan) Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.

"Kami tidak mahu apa yang berlaku di Kelantan dan Terengganu apabila hanya masing-masing satu jawatan exco diberikan kepada wakil Bersatu, sedangkan kami sama-sama bekerja untuk PN di negeri terbabit," kata sumber itu seperti dipetik Berita Harian.

Percubaan Malaysiakini untuk mendapatkan pengesahan daripada Bersatu Kedah tidak berjaya, dengan sumber membayangkan dia tidak dibenarkan bercakap.

Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor juga belum menjawab permintaan untuk komen.

Berita Harian melaporkan tiga Adun Bersatu yang akan dilantik menganggotai pentadbiran negeri ialah Halimat Shaadiah Saad (Bukit Kayu Hitam), serta Dzowahir Ab Ghani (Suka Menanti) dan Mohd Salleh Saidin (Kubang Rotan).

Pada pilihan raya negeri minggu lepas, PN meraih majoriti besar apabila menang 33 dari 36 kerusi DUN di Kedah.

Dari jumlah kerusi berkenaan, Bersatu memenangi 11 DUN, bertambah dari lima kerusi yang disandang parti itu sebelum pilihan raya.

Satu kerusi turut dimenangi oleh Gerakan, yang menurut Sanusi mungkin mendapat satu jawatan exco.

PAS pula memenangi 21 kerusi, yang disifatkan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah Ahmad Yahaya pada satu kenyataan hari ini, sebagai satu kejayaan yang bersejarah.

"PAS Negeri Kedah buat pertama kali pada sejarah penyertaannya dalam pilihan raya, telah berjaya mencapai kerusi melebihi majoriti mudah (DUN)," katanya.

Hanya 19 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan di Kedah.

PN berkuasa di Kedah pada 2020 selepas Adun Bersatu berpaling tadah daripada PH untuk menyokong PAS membentuk kerajaan negeri baru.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS