Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Jangan politikkan tema, logo Hari Kebangsaan - Zahid

Perkara patriotik seperti berkaitan logo dan tema Hari Kebangsaan tidak harus dipolitikkan, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Mengulas kenyataan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN) Ahmad Fadhli Shaari yang dilaporkan berkata empat negeri di bawah pentadbiran PN mungkin menggunakan logo dan tema Hari Kebangsaan yang berbeza di peringkat negeri, Ahmad Zahid menyifatkan ia bersifat jumud.

“Ini bukan soal politik, ini soal bendera perayaan (Hari Kebangsaan) dan saya fikir jangan politikkan perkara ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Piala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi 2023 di sini hari ini.

Media melaporkan Ahmad Fadhli berkata Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang diperintah PN berkemungkinan menggunakan logo dan tema alternatif yang dilancarkan Pemuda PN semalam iaitu “Teguh Muafakat Malaysia Sejahtera” dan logo dengan elemen bunga raya.

Pada Mei lepas, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengumumkan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2023 ialah “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan, Penuhi Harapan” dengan mengangkat Malaysia Madani sebagai logo rasmi.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS