Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Penduduk gesa k'jaan Selangor batal rancangan bina insinerator di Rawang

Kumpulan penduduk menggesa kerajaan Selangor tidak meneruskan rancangan membina loji insinerator sampah kepada tenaga (waste-to-energy, WTE) di Rawang.

Jaringan Rawang Tolak Insinerator (RTI), yang merupakan gabungan semua persatuan penduduk di Rawang, menegaskan loji itu akan membawa lebih banyak keburukan berbanding kebaikan kepada penduduk.

"Loji WTE hanyalah penambahbaikan daripada insinerator biasa tetapi dengan kemampuan menjana tenaga. Namun, kedua-duanya ada ciri sama dalam menggunakan pembakaran bagi pelupusan sampah pepejal.

"Pembakaran boleh meninggalkan abu, meningkatkan kepanasan persekitaran dan melepaskan gas toksik ke atmosfera.

"Lokasi loji adalah kebimbangan utama kami. Ia terlalu dekat dengan rumah, sekolah dan rumah ibadat.

"Kami tidak mahu persekitaran dan kesihatan kami terkesan dengan loji ini," kata ahli jawatankuasa RTI Lam Choong Wah ketika sidang media di Batu Arang, Rawang hari ini.

Lam Choong Wah

Hampir 60 orang, dikatakan ada kaitan dengan pelbagai persatuan penduduk yang berhubungan dengan RTI, hadir di sidang media ini.

Kata Lam lagi, RTI akan menyediakan memorandum serta petisyen untuk diserahkan kepada Pejabat Menteri Besar Selangor seminggu selepas majlis angkat sumpah jawatan pada Isnin ini.

Dinamakan sebagai Sultan Idris Shah (SIS) Waste-to-Energy Green Energy Plant, projek itu dirancang akan dipantau Kelab Darul Ehsan Bhd (KDEB) Waste Management dan YTL Power International Bhd.

Saiz insinerator itu tidak dimaklumkan dalam pelan projek namun dinyatakan ia boleh memproses 2,400 tan sisa sehari dan menghasilkan tenaga sebanyak 58 megawatt.

Pelan itu turut menyebut projek dijangka akan dibina di sebelah sebuah tasik di antara Batu Arang dan Bandar Tasik Puteri.

Dalam satu program kempen pada PRN lalu, seorang penduduk membangkitkan isu insinerator itu kepada menteri besar sementara Amirudin Shari.

Dia membangkitkan kebimbangan berhubung kesihatan penduduk, terutama pelajar sekolah yang berisiko menghidu asap beracun jika cadangan projek itu diluluskan.

Dalam responsnya, Amirudin berkata penilaian akan dibuat terlebih dahulu, termasuk penilaian impak alam sekitar (EIA), sebelum kerajaan negeri membuat sebarang keputusan.

Sementara itu, RTI turut menggesa Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor agar bersikap telus, bukannya terus membisu, berkenaannya.

Mereka turut membangkitkan Rancangan Tempatan Kawasan Khas Bandar Batu Arang 2030 yang ingin menjadikan bandar itu sebagai bandar warisan, dan pembinaan loji insinerator tidak selari dengan hasrat itu.

Ketika sidang media berlangsung, Adun Kuang Mohd Rafiq Abdullah hadir dan menggesa penduduk agar menyuarakan kebimbangan mereka dan mencadangkan penyelesaian kepadanya.

Mohd Rafiq berkata dia ingin menyampaikan pandangan mereka secara terus kepada menteri besar yang baru.

"Tidak adil membiarkan kebimbangan penduduk tidak didengar. Sebagai wakil rakyat kawasan, saya perlu melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan semua orang dapat hidup selesa," katanya kepada penduduk.

Selepas perbincangan singkat dengan penduduk, Rafiq berkata dia akan menanggung perbelanjaan berkaitan pencetakan dokumen dan sepanduk untuk demonstrasi di depan Pejabat Menteri Besar Selangor nanti.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS