Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Perarakan kuil: NGO dakwa 'pegawai kanan' Anwar tekan polis

Sebuah NGO Melayu membuat laporan polis terhadap seorang individu bernama Suresh yang memperkenalkan dirinya sebagai 'pegawai kanan' kepada perdana menteri merangkap ahli parlimen Tambun, Anwar Ibrahim.

Ia susulan video tular di media sosial mengenai tindakan individu berkenaan yang didakwa menganggu tugas polis berhubung permohonan perarakan kuil di jalan utama Klebang, Tambun ketika bulan Ramadan pada April lalu.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Amal Yaqin Bersaudara Ipoh Perak, Mohd Amir Ikram Kamaruddin membuat laporan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh, pagi tadi.

"Dalam video tersebut mengatakan yang pihak PDRM Ipoh telah menolak permohonan perarakan kuil tokong untuk menggunakan jalan utama Klebang dan pihak PDRM mencadangkan menggunakan jalan alternatif atas alasan menjaga sensitiviti Melayu dan mengelakkan kesesakan jalan utama.

“Tetapi Suresh beritahu dia menelefon SB Tambun dan OCPD Ipoh mengarahkan polis memberi kebenaran menggunakan jalan utama Klebang seperti dipohon pihak kuil,” menurut laporan tersebut.

Menurut laporan polis oleh NGO berkenaan, lelaki berkenaan menghubungi timbalan ketua polis Perak 'untuk 'menekan dan memaksanya’ agar memberi kebenaran menggunakan jalan utama bagi tujuan perarakan berkenaan.

Mereka mendakwa, PDRM akhirnya memberikan kebenaran kerana lelaki itu memperkenalkan dirinya sebagai 'orang kanan perdana menteri'.

Laporan itu mendakwa pada hari perarakan berlaku pergaduhan dan kesesakan lalu lintas, selain orang Melayu kawasan itu kecewa kerana pejabat ahli parlimen Tambung tidak menghormati sensitiviti Melayu dan Islam.

"Kami NGO-NGO dalam kawasan Tambun kesal dengan tindakan individu tersebut kerana tidak menghormati sentimen orang Melayu dan Islam ketika dalam bulan mulia Ramadhan April 2023.

"Kami meminta pihak polis menyiasat perkara tersebut sekiranya benar harus mengambil tindakan tegas terhadap individu tersebut kerana mengganggu tugas pihak polis," katanya kepada media.

Malaysiakini telah menghubungi pejabat perdana menteri dan pusat khidmat ahli parlimen Tambun untuk membuat komen berhubung jawatan individu tersebut.

Mohd Amir juga meminta jasa baik Anwar supaya memastikan perkara sebegini tidak berulang di Tambun di mana majoriti penduduk merupakan Melayu Islam.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS