Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah memberi perkenan untuk istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar Selangor dan exco diadakan Isnin ini.
Menurut istana Selangor, istiadat angkat sumpah dan ikrar aku janji serta pengurniaan surat cara pelantikan menteri besar akan diadakan pada jam 11 pagi di Istana Alam Shah, Klang.
Istiadat angkat sumpah jawatan exco juga akan berlangsung pada hari dan tempat yang sama tetapi pada jam dua petang.
Sebelum ini terdapat dakwaan bercanggah berhubung senarai nama calon menteri besar Selangor yang dihantar kepada istana.
Sumber Pakatan Harapan (PH) memberitahu Malaysiakini, senarai itu mengandungi nama Amirudin, Adun Seri Setia Fahmi Ngah yang dilihat dekat dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim serta bekas pegawai Amirudin, Borhan Aman Shah.
Bagaimanapun tanpa mendedahkan siapa, sumber yang rapat dengan Anwar pula memberitahu Malaysiakini hanya satu nama yang dihantar.
Mengulas berkaitan senarai itu, Amirudin semalam berkata perkara tersebut boleh ditanya kepada Anwar kerana ia dihantar oleh pemimpin itu.
Keputusan pilihan raya negeri (PRN) di Selangor pada Sabtu lepas menyaksikan gabungan PH dan BN menguasai 34 kerusi manakala Perikatan Nasional mendapat 22 kerusi.
Sebelum ini, Anwar menamakan Amirudin sebagai calon menteri besar sekiranya gabungan PH-BN memenangi PRN itu.