Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mahkamah Persekutuan benarkan petisyen calon BN Segamat PRU15 didengar

Mahkamah Pilihan Raya akan mendengar petisyen pilihan raya calon BN M Ramasamy berhubung permohonannya membatalkan kemenangan Pakatan Harapan (PH) di kerusi Parlimen Segamat semasa Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Zabariah Mohd Yusof sebulat suara membenarkan rayuan Ramasamy dalam petisyen pilihan raya berhubung kemenangan R Yuneswaran daripada PH.

Awal tahun ini, Mahkamah Pilihan Raya di Johor membenarkan bantahan awal Yuneswaran dan membatalkan petisyen pilihan raya tersebut tanpa mendengar merit dalam perbicaraan penuh.

Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Radzi Abdul Hamid, dalam kapasitinya sebagai hakim Mahkamah Pilihan Raya, memutuskan bahawa petisyen Ramasamy tidak seharusnya berdasarkan inferens atau andaian, sebaliknya berdasarkan fakta dan petisyen itu dikatakan tidak mengandungi fakta material yang tepat dan jelas.

Semasa membacakan keputusan bangku hakim Mahkamah Persekutuan, yang turut dibarisi Hasnah Mohammed Hashim dan Mary Lim, Zabariah turut memerintahkan hakim Mahkamah Pilihan Raya yang berbeza untuk mendengar merit petisyen pilihan raya Ramasamy.

Zabariah mengarahkan mahkamah mendengar petisyen pilihan raya berhubung dua isu iaitu isu dakwaan rasuah kepada pengundi serta bahan kempen yang didakwa melanggar peraturan pilihan raya.

Dia memutuskan bahawa tidak mematuhi prosedur dalam petisyen pilihan raya tidak cukup sebagai alasan untuk mahkamah membatalkannya.

Ramasamy diwakili peguam, Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Lau Yi Leong dan peguam kanan persekutuan Suzana Atan mewakili Yuneswaran dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), yang merupakan dua responden dalam kes itu.

Yuneswaran memenangi kerusi itu dengan majoriti 5,669 undi pada November tahun lepas dan diisytiharkan sebagai ahli parlimen bagi kawasan itu, mengalahkan Ramasamy, P. Poobalan dari Perikatan Nasional (PN) dan Syed Hairoul Faizey dari Pejuang.

Ramasamy yang juga bendahari MIC bertanding sebagai calon BN bagi kawasan parlimen Segamat pada PRU15.

Dalam petisyennya, Ramasamy memohon, antara lain, pengisytiharan bahawa pilihan raya bagi kawasan Parlimen Segamat adalah terbatal dan pengisytiharan bahawa Yuneswaran tidak dipilih sebagai ahli parlimen.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS