Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tragedi Elmina: Suami pesan kebumikan di kampung halaman
Diterbitkan:  Aug 18, 2023 7:30 AM
Dikemaskini: 11:30 PM

"Jika saya meninggal dunia, kebumikan saya di kampung halaman", itu pesanan Khairil Azwan Jamaluddin, 43, yang merupakan antara yang tersenarai dalam senarai penumpang pesawat jenis Beechcraft Model 390 (Premier 1) yang terhempas di Lebuhraya Guthrie berhampiran Bandar Elmina Shah Alam semalam.

Pesanan itu diberikan kepada isterinya Nizatul Akmar Mohd Nasir, 43, awal bulan ini ketika menyumbang kepada khairat kematian.

"Dia ada pesan supaya dikebumikan di kampung halamannya di Kampung Mempaga, Bentong, Pahang jika meninggal dunia kerana mahu saya dan anak-anak pulang ke kampung untuk menziarah dan melawat keluarga.

"Saya akan penuhi hasrat dia dan sudah tentu keluarga pun mahu begitu juga," katanya ketika ditemui di luar Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang malam tadi.

Nizatul Akmar berkata sebelum penerbangan itu, suaminya menghubunginya pada pukul 1.40 tengah hari semalam memberitahu penerbangannya pada pukul 2 petang dan dijangka tiba kira-kira 4 petang serta memintanya supaya menjaga diri.

“Suami sangat teruja dengan penerbangan kali ini...selalunya jika dia bersama Datuk Seri Johari Harun dia akan mengendalikan helikopter selaku juruterbang peribadinya tapi kali ini dia sebagai penumpang.

"Tak sangka itu adalah panggilan terakhirnya,” katanya.

Beliau berkata suaminya merupakan seorang yang amat mengutamakan keluarga dan kebajikan ibu bapa serta adik-beradiknya.

Nizatul Akmar berkata pada mulanya beliau enggan mempercayai pesawat yang dinaiki suaminya terlibat dalam nahas itu dan berusaha untuk menghubungi individu yang menaiki penerbangan bersama suaminya tetapi gagal.

Beliau kemudian mengambil keputusan untuk menghubungi isteri Johari yang memberitahu pesawat dinaiki suami mereka terlibat dalam nahas itu.

"Saya bergerak ke sini dari Seremban selepas Maghrib tadi bagi tujuan pengecaman jenazah," katanya.

Khairil Azwan meninggalkan tiga anak, kesemuanya lelaki berusia antara 10 hingga 14 tahun.

Nama Khairil Azwan dan Johari berada dalam senarai penumpang pesawat namun identiti mangsa perlu disahkan melalui proses forensik. Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan tiada penumpang yang selamat.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS