Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kes 'cikgu ponteng': Pegawai JPN nafi KPM tak berkesan tangani aduan

Seorang pegawai pendidikan Sabah tampil di mahkamah sebagai saksi dalam kes bekas pelajar Siti Nafirah Siman (gambar judul) menyaman gurunya Mohd Jainal Jamran kerana didakwa ponteng kelas.

Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Muarifin Sufianto Mohchoeri mempertahankan tindakan pihak berkuasa Kementerian Pendidikan bagi memperbaiki keadaan di SMK Taun Gusi, Kota Belud.

Dia memberitahu Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu hari ini bahawa masalah ketidakhadiran Mohd Jainal yang mengajar Bahasa Inggeris pernah dibincangkan dalam mesyuarat program English Teaching Assistant (ETA) Fullbright.

Muarifin menafikan bahawa tindakan itu tidak berkesan dan tiada kaitan dengan masalah ketidakhadiran tersebut apabila disoal peguam plaintif Shireen Sikayun.

Shireen: “Saya mengemukakan kepada anda bahawa tindakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Kementerian Pendidikan tidak berkesan dan tidak relevan bagi mengatasi aduan yang dibuat oleh Ibrahim Jadoon dan cikgu Norhaizah Ejab.”

Muarifin: “Saya tidak bersetuju.”

Cikgu Jainal didakwa gagal menghadiri kelas selama tujuh bulan pada tahun 2015. Namun, Muarifin enggan beranjak walaupun dikemukakan bahawa Jainal tidak ada lagi dalam program ETA pada ketika itu.

Shireen: “Saya cadangkan tindakan-tindakan JPN tidak relevan dengan aduan Ibrahim Jadoon mengenai defendan pertama (Jainal) kerana Jainal telah keluar dari program ETA pada tahun 2015.”

Muarifin: “Saya tak bersetuju sebab setiap tahun kita panggil wakil sekolah bersama dalam majlis penyerahan ETA dan dimaklumkan kongsi peranan pengetua dalam memastikan program tersebut berjalan lancar dan membantu pelaksanaannya.

“Apa pun ada gangguan di luar, pengetua perlu memastikan masalah yang dialami dapat diselesaikan.”

Ketika disoal balas oleh peguam kanan persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim, Muarifin mengaku pernah menerima laporan PPD Kota Belud bahawa Mohd Jainal mempunyai masalah ketidakhadiran.

Muarifin berkata dia telah memaklumkan perkara tersebut kepada pengetua SMK Taun Gusi pada ketika itu, Suid Hanap, dan mendapat maklum balas secara lisan bahawa pengetua telah pun menegaskan agar peraturan sekolah dipatuhi oleh semua guru.

Walau bagaimanapun tidak dinyatakan sama ada Mohd Jainal mematuhi mematuhi peraturan atau sebaliknya.

Namun, Muariffin menjelaskan bahawa segala pelaksanaan peraturan-peraturan sekolah ini adalah di bawah pemantauan pihak PPD.

Apabila disoal Hafizi sama ada PPD ada buat laporan mengenai pematuhan peraturan itu atau tidak, Muariffin menjawab tiada makluman dalam bentuk laporan akan dibuat, melainkan menerusi mesyuarat antara JPN Sabah dan ketua-ketua PPD yang akur dengan peraturan yang telah dikuatkuasakan.

Kes saman ke atas Jainal difailkan bekas pelajarnya Siti Nafirah yang diwakili oleh peguamnya Shireen, manakala pihak defendan diwakili oleh Hafizi yang dibantu oleh peguam persekutuan Fazriel Fardianshah Abdul Kadir.

Perbicaraan kes guru ponteng di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pagi tadi, dilaksanakan di hadapan hakim mahkamah tinggi Datuk Ismail Brahim bersambung esok.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS