Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Vincent Tan peroleh perintah sekatan sementara terhadap Sanusi

Vincent Tan memperoleh perintah sekatan sementara terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dalam saman fitnah yang difailkan taikun berkenaan.

Peguam ahli perniagaan itu, Chuar Kia Lin mengesahkan kepada Malaysiakini bahawa Mahkamah Tinggi Shah Alam membenarkan permohonan injunksi ex-parte awal hari ini, dan salinan perintah itu telah diserahkan kepada pasukan peguam Sanusi.

Peguam itu berkata perintah itu akan berkuat kuasa sehingga Jumaat minggu depan, di mana pasukan peguam Sanusi akan diberi peluang mengemukakan hujah balas terhadap permohonan taikun itu bagi perintah sekatan berterusan, sementara menunggu penyelesaian saman fitnah utama.

Malaysiakini telah menghubungi pasukan peguam Sanusi untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Sebelum ini, peguam Tan mengeluarkan surat tuntutan bagi menuntut Sanusi memohon maaf secara terbuka serta membayar ganti rugi RM200 juta berhubung dakwaannnya berkenaan projek pembersihan Sungai Klang, melibatkan Tan dan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari.

Sanusi kemudian didakwa enggan mematuhi surat tuntutan itu, menyebabkan pengasas Kumpulan Berjaya berkenaan memfailkan saman fitnah terhadapnya pada 8 Ogos.

Writ saman itu berhubung ucapan Sanusi ketika kempen pilihan raya negeri Kedah di Dataran Darulaman, Jitra, pada 2 Ogos lalu yang disaksikan ratusan orang.

Menurut pernyataan tuntutan itu, Tan dan Berjaya Land Berhad - yang merupakan plaintif pertama dan kedua - menyangkal dakwaan itu dan berkata Sanusi menerusi surat balas bertarikh 8 Ogos enggan mematuhi tuntutan yang dibuat.

Plaintif mendakwa dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas dan tidak benar, tetapi dibuat dengan niat jahat dan demi kepentingan politik dan "retorik mengapi-apikan" oleh defendan.

Tan dan Berjaya mendakwa Sanusi tidak mengambil langkah wajar untuk mengesahkan dakwaan tersebut sebelum membangkitkannya dalam ucapan, dan mendakwa dia ingin meraih publisiti murahan dan sensasi demi manfaat pilihan raya dan peribadi.

Tan dan Berjaya juga mendakwa kenyataan Sanusi antara lain menggambarkan mereka sebagai korup, kroni kepada Amirudin, dan menyebabkan kerajaan Selangor menanggung kerugian RM180 juta ekoran tanah yang didakwa diberikan secara "percuma" dan menipu rakyat Selangor.

"Keparahan fitnah dan kesan buruk terhadap plaintif sangat besar...terutama di saat akhir kempen politik yang menjadi perhatian orang ramai, dan terus memberi kesan kepada plaintif dalam pelbagai bentuk sehingga kini.

"Plaintif memiliki reputasi bersih sebagai ahli perniagaan dan memiliki kedudukan terhormat dalam masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa," menurut Tan dan Berjaya Land.

Plaintif menegaskan bahawa Tan mempunyai keluarga besar dan dakwaan Sanusi menjejaskan keluarganya, seterusnya menimbulkan trauma buruk kepada mereka.

Kedua-duanya mendakwa bahawa dakwaan itu tersebar ke seluruh dunia, di mana organisasi atau syarikat perniagaan antarabangsa itu mungkin mendapat tanggapan buruk terhadap mereka.

Selain pelbagai bentuk ganti rugi, Tan dan Berjaya Land memohon injunksi bagi menghalang Sanusi daripada terus mengulangi kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Plaintif juga menuntut faedah 5 peratus ke atas sebarang jumlah penganugerahan yang diberikan, kos, dan apa-apa relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS