Paling Popular
Terkini

Sebuah pesawat terbang ringan terhempas di sebatang jalan di Bandar Elmina dekat Shah Alam.

Sumber-sumber agensi kerajaan memberitahu, insiden itu berlaku kira-kira jam 2.45 petang, meragut nyawa sepuluh mangsa.

Beberapa media melaporkan, mangsa juga dikatakan termasuk seorang penumpang orang kenamaan.

Insiden itu berlaku kira-kira lima kilometer daripada ‘Jambatan Pelangi’ yang menjadi mercu tanda kawasan itu.

Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memberitahu pemberita di tempat kejadian bahawa terdapat lapan orang di dalam pesawat penumpang Beechcraft, yang dalam perjalanan dari Langkawi ke Lapangan Terbang Subang.

“Ia dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Subang pada pukul 2.50 petang, tetapi dua minit sebelum mendarat, pesawat itu telah terhempas di atas jalan raya.

“Pesawat itu turut merempuh dua kenderaan – sebuah motosikal dan sebuah kereta,” katanya.

Polis juga mengesahkan sepuluh lelaki dipercayai warga tempatan maut dalam kejadian pesawat terhempas itu.

Seorang pegawai bomba memberitahu Malaysiakini, mereka berkejar dari stesen Kota Anggerik dan Sungai Buloh setelah mendapat panggilan telefon pada jam 2.53 petang.

Berdasarkan beberapa posting di media sosial, penunggang motosikal turut terlibat dalam kemalangan itu.

Ini bukan kali pertama kejadian itu berlaku di Elmina. 

Insiden sama pernah berlaku pada 46 tahun lalu ketika Elmina masih belum dimajukan dan masih berstatus ladang getah.

Kejadian pada 1977 itu dilapor melibatkan Japan Airlines Flight 715 yang menyebabkan 34 orang meninggal dunia.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS