Ketika ahli akar umbi Umno semakin gelisah ekoran keputusan enam pilihan raya umum (PRN) baru-baru ini, seorang pemimpin parti itu menggesa agar mesyuarat khas majlis kerja tertinggi (MKT) diadakan segera.
Menurut Isham Jalil sudah hampir seminggu PRN berlalu dan Umno kalah teruk di kebanyakam negeri namun MKT belum dipanggil untuk bersidang.
"Akar umbi akan menjadi semakin resah jika kita di pihak pimpinan parti mendiamkan diri dan tidak memberikan hala tuju yang jelas semasa krisis.
"Berada dalam sindrom penafian dan melengah-lengahkan masa supaya isu dilupakan bukanlah pilihan yang baik untuk kita di kala ini," katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru Isham yang juga salah seorang ahli MKT berkata mesyuarat tersebut perlu diadakan segera dan antara agendanya ialah untuk mengadakan perhimpunan agung khas bagi membincangkan hala tuju parti.
"Dan Umno perlu libatkan semua akar umbi parti yang ingin menyertai perhimpunan agung khas tersebut kerana keputusan yang perlu kita buat adalah amat penting dan memberi kesan kepada semua ahli," katanya.
Kecuali di Negeri Sembilan, Umno mencatatkan kegagalan besar apabila hampir semua calon mereka gagal memenangi kerusi masing-masing.
Kerjasama dijalin Umno dengan PH dalam kerajaan perpaduan serta keberadaan Ahmad Zahid Hamidi sebagai pemimpin parti didakwa menjadi salah satu punca kekalahan tersebut.
Isham sendiri membuat kenyataan bahawa kerjasama Umno dengan DAP - melalui PH - dan faktor Ahmad Zahid menyumbang kepada perubahan sokongan berkenaan.
Bekas ketua penerangan Umno itu juga mendakwa pemenjaraan Najib Razak adalah faktor ketiga mengapa pengundi BN lagi memilih parti berkenaan pada 12 Ogos lalu.
Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN yang ditandingiya di enam negeri terbabit.
Kata Isham pelaksanaan perhimpunan agung khas itu itu penting bagi membolehkan para pemimpin parti mendengar suara akar umbi.
"Kita berada dalam keadaan yang luar biasa. Keadaan luar biasa memerlukan tindakan yang luar biasa," katanya hari ini.