Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Tamat sudah pilihan raya Negeri (PRN) untuk penggal ke-15 di enam negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu.

Keputusan PRN sudah diketahui dan kebanyakan negeri tersebut sudah melantik ketua kerajaan masing-masing. Tahniah dan selamat bertugas kepada pihak yang menang.

Ironinya, PRN untuk negeri-negeri tersebut adalah kali pertama dilaksanakan secara berasingan dengan pilihan raya umum (PRU) bagi memilih ahli parlimen di peringkat persekutuan.

Kita sedia maklum, pada PRU penggal ke-14 tahun 2018 dan PRU sebelumnya, negara kita telah melaksanakan PRU yang bersekali dengan PRN di semua negeri kecuali negeri Sarawak.

Namun, segalanya berubah bermula tahun 2020 apabila beberapa negeri telah membubarkan Dewan Undang Negeri (DUN) masing-masing lebih awal dari tempoh lima tahun mandat semasa.

Atas sebab-sebab yang hanya orang politik yang faham, maka pembubaran awal DUN-DUN ini telah membuka laluan kepada pelaksanaan PRN secara berasingan iaitu PRN Sabah pada September 2020, PRN Melaka (November 2021), PRN Johor (Mac 2022), serta PRU Penggal ke-15 yang diadakan bersekali dengan PRN Perlis, Perak dan Pahang pada November 2022.

PRN Sarawak yang diadakan pada Disember 2021 adalah kes khas kerana ia memang didakan secara berasingan sejak sebelum ini.

Disebabkan pelaksanaan PRU dan PRN secara berasingan ini, maka suka atau tidak, negara kita bakal menyaksikan pelaksanaan PRU atau PRN hampir setiap tahun.

Dalam kata lain, untuk tempoh lima tahun, hanya satu tahun sahaja yang tiada PRN atau PRU dilaksanakan. Sebagai contoh, untuk tempoh 2023-2027 hanya tahun 2024 yang tiada pilihan raya.

Selebihnya, kita akan menghadapi PRU dan PRN sebaik tamat mandat semasa parlimen dan DUN-DUN berkenaan.

Justeru, jika dilihat garis masa, pilihan raya yang berikutnya ialah PRN Sabah yang perlu didakan selewat-lewatnya pada September 2025, PRN Melaka (November 2026), PRN Sarawak (Disember 2026), PRN Johor (Mac 2027) diikuti PRU peringkat Persekutuan serta PRN Perlis, Perak dan Pahang (November 2027).

Begitulah urutan pelaksanaan pilihan raya yang dilihat ‘berkecamuk’ dan tidak sistematik seperti sebelum ini.

Walaupun ia suatu proses demokrasi yang perlu dihormati, namun saya berharap pihak kerajaan perlu melihat semula pelaksanaan berasingan PRU dan PRN dan membuat kajian, inisiatif, pertimbangan dan usaha ke arah mengembalikan semula pelaksanaan PRU dan PRN secara serentak.

Ini kerana pelaksanaan secara berasingan akan menyebabkan negara kerugian dana awam yang banyak bagi menampung kos pelaksanaan pilihan raya secara berasingan.

Menurut Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kos perbelanjaan PRU dan PRN yang diadakan secara berasingan sebelum ini adalah seperti berikut – PRN Sabah 2020 (RM 130 juta), PRN Melaka 2021 (RM 46 juta), PRN Sarawak 2021 (RM 150 juta), PRN Johor 2022 (RM 96 juta), PRU15 dan PRN Perlis, Perak dan Pahang 2022 (RM 1.01 bilion) dan terakhir PRN Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu tahun 2023 (RM 420 juta).

Jumlah keseluruhan kos pelaksanaan PRU dan PRN ini ialah RM 1.85 bilion, jauh lebih besar daripada kos pelaksanaan PRU secara serentak dengan PRN pada 2018 iaitu hanya sekitar RM 400 juta sahaja.

Sudah tentu banyak dana awam yang dapat dijimatkan jika PRU dan PRN ini dapat disekalikan pelaksanaannya.

Selain itu, pelaksanaan PRU dan PRN secara berasingan ini juga akan menyusahkan rakyat kerana mereka perlu membuang undi sebanyak dua kali pada tarikh yang berbeza dalam tempoh lima tahun bagi memilih ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri mewakili kawasan masing-masing.

Jika mereka mengundi di kampung atau lokasi berbeza dari tempat mereka menetap, akan berlaku peningkatan kos perbelanjaan untuk pulang ke tempat mengundi.

Situasi ini sudah tentu membebankan lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi tidak menentu dan kos sara hidup yang meningkat.

Rakyat akan bosan

Dari sudut yang lain, apabila negara kita kerap melalui tempoh pilihan raya iaitu hampir setiap tahun, maka ada kemungkinan rakyat akan menjadi bosan.

Parti-parti politik akan kerap melakukan aktiviti berkempen manakala masyarakat akan menjadi obses dengan politicking kerana asyik berpolitik sepanjang masa.

Suasana ini juga akan sedikit sebanyak merencatkan usaha-usaha untuk membangunkan negara ke tahap yang lebih baik.

Seperkara lagi yang turut membimbangkan saya ialah hubungan baik sesama ahli keluarga, rakan taulan dan masyarakat pelbagai kaum akan sedikit sebanyak terjejas dek kerana pendekatan kempen politik partisan di negara kita yang gemar memainkan sentimen kaum dan agama, menyemarakkan api kebencian kepada lawan politik masing-masing bagi meraih undi dan sokongan.


DR NISAR MOHAMMAD AHMAD ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS