Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kes Ebit Lew: Perisian gagal kenal pasti data dipadam

Mahkamah Majistret Tenom hari ini diberitahu bahawa perisian XRY yang digunakan oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak dapat mengenal pasti data yang dipadam daripada telefon bimbit pengadu wanita dalam kes pendakwah Ebit Irawan Ibrahim Lew, atau Ebit Lew.

Juruanalisis Kanan Audio Video PDRM Latifah Abdul Aziz, 43, berkata dia menggunakan perisian itu untuk mengekstrak data dalam telefon bimbit pengadu.

Saksi pendakwaan ketujuh itu bersetuju dengan cadangan peguam Ram Singh, yang mewakili Ebit Lew, bahawa sebagai pihak yang menyediakan laporan forensik dan menganalisis telefon bimbit tersebut, ada kemungkinan mesej teks telah dipadam.

Latifah berkata dia turut menganalisis telefon bimbit yang dirampas daripada saksi pertama iaitu Mohd Fairuz Abu dan saksi ketiga Firdaus Wong Wai Hung.

"Hasil analisis mendapati terdapat kumpulan WhatsApp dinamakan ‘Nobody’ mempunyai empat ahli iaitu Mohd Fairuz, Firdaus dan dua inidvidu lain,” katanya pada perbicaraan kes Lew di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani.

Ebit Lew, 38, berdepan 11 pertuduhan antaranya mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 40-an dengan menghantar perkataan dan gambar lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac dan Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan bersambung esok.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS