Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Politik stabil penting dalam usaha tingkat ekonomi, taraf hidup rakyat'
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 10:16 PM
Dikemaskini: 2:16 PM

Kestabilan politik penting bagi meneruskan usaha untuk meningkatkan tahap ekonomi negara dan juga menaik taraf kehidupan rakyat, kata Timbalan Menteri Kewangan I Ahmad Maslan.

Ahmad berkata keputusan PRN yang selesai baru-baru ini tidak mengubah apa yang berlaku di peringkat kerajaan persekutuan dan menambah bahawa kerajaan perpaduan masih stabil dan teguh.

“Kestabilan kerajaan pusat itu amat penting untuk kita meneruskan perjalanan, (menaik taraf) kehidupan rakyat dan peningkatan tahap ekonomi negara (serta) memberi keyakinan kepada pelbagai pihak di luar sana untuk terus melabur di pasaran modal ataupun pasaran saham.

“Kestabilan politik adalah tajuk utama kenapa pelaburan datang ke Malaysia dalam semua bentuk sama ada pembuatan, pasaran modal dan lain-lain,” katanya kepada pemberita selepas sesi tinjauan dan program ramah mesra Timbalan Menteri Kewangan 1 bersama Majlis Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Pontian, di Johor, hari ini.

Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan PRN yang melibatkan enam negeri pada Sabtu lepas.

Pada pilihan raya itu PH dan BN menguasai tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala PN menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS