Raja pemerintah Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah pulang daripada menjalani prosedur perubatan di luar negara.
Keberangkatan pulang baginda dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin disambut oleh menteri besar sementara Amirudin Shari pagi ini.
“Syukur alhamdulillah, urusan perubatan DYMM Tuanku Sultan Selangor berjalan dengan baik dan lancar.
“Baginda turut kelihatan sihat dan ceria,” katanya di Twitter.
Kepulangan baginda dipercayai berkaitan dengan upacara angkat sumpah menteri besar selepas pilihan raya enam negeri, termasuk Selangor, Sabtu lalu.
Amirudin bagaimanapun tidak menyebut berkaitan perkara itu.
Pakatan Harapan dan BN mempertahankan Selangor daripada asakan Perikatan Nasional (PN).
Gabungan baru itu bagaimanapun hilang penguansaan dua pertiga dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) setelah kalah di sebahagian besar kerusi di utara negeri itu, yang mempunyai lebih ramai pengundi Melayu.
Pada Ahad, seorang jurucakap pejabat menteri besar memberitahu Malaysiakini bahawa pembentukan kerajaan baru akan bermula selepas baginda pulang dari luar negara.
Malaysiakini hari ini sedang mendapatkan kemas kini terbaru susulan keberangkatan pulang baginda.
Sultan Sharafuddin dilapor berada di London sejak 28 Julai untuk rawatan dan pembedahan holmium laser enucleation of the prostate (HoLEP).
Upacara angkat sumpah menteri besar dan ketua menteri telah berlangsung di Kedah, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan. Kelantan dan Terengganu dijadual melangsungkannya hari ini.