Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah tiba di negara ini dari London pagi tadi selepas menerima rawatan perubatan di luar negara sejak bulan lalu.
Kepulangan baginda bersama Tengku Permaisuri Norashikin dimaklumkan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari melalui ciapannya hari ini.
"Menyambut ketibaan DYMM Sultan Selangor dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor sekembalinya dari menjalani prosedur perubatan di luar negara.
"Syukur alhamdulillah, urusan perubatan DYMM Tuanku Sultan Selangor berjalan dengan baik dan lancar. Baginda turut kelihatan sihat dan ceria," ciapnya menjelang tengah hari tadi.
Mengiringi ciapan tersebut ialah gambar mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang.
Bagaimanapun hantaran Adun Sungai Tua itu tidak menyebut apa-apa maklumat mengenai tarikh majlis angkat sumpah menteri besar Selangor.
Pun begitu istiadat tersebut dipercayai akan diadakan tidak lama lagi.
Amirudin menjadi menteri besar sementara sejak pembubaran Dewan Undangan Negeri Selangor pada 23 Jun lalu bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri (PRN).
Pemilihan yang dijalankan serentak di enam negeri pada 12 Ogos itu menyaksikan PH-BN memperoleh majoriti yang mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri seterusnya.
Walaupun masih belum dapat disahkan sama ada Amirudin akan terus memegang jawatan menteri besar, namanya disebut Pengerusi PH merangkap Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, sebagai calon yang akan kekal dengan tugas tersebut.
Jurucakap pejabat menteri besar memberitahu Malaysiakini sehari selepas PRN, proses untuk membentuk kerajaan negeri akan datang hanya boleh dimulakan apabila Sultan Sharafuddin kembali dari luar negara.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat sekali lagi hari ini untuk mendapatkan maklumat terkini berikutan ketibaan Sultan Sharafuddin pagi ini.
Menurut Bernama, Sultan Sharafuddin berada di London sejak 28 Julai lalu untuk menjalani pembedahan dan rawatan yang dipanggil holmium laser enucleation of the prostate.