Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Semak, tarik balik 'pendakwaan terpilih' - Hamzah
Diterbitkan:  Aug 15, 2023 11:39 AM
Dikemaskini: 5:34 AM

Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN) Hamzah Zainudin mahu Peguam Negara mengkaji semula semua pertuduhan jenayah yang dikenakan ke atas pemimpin gabungan itu.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan bekas perdana menteri dan pengerusi PN Muhyiddin Yassin daripada empat tuduhan menggunakan kedudukannya untuk rasuah berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu.

“Berdasarkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, saya juga mendesak peguam negara supaya menyemak dan mengkaji semula semua pendakwaan terpilih terhadap pimpinan Bersatu dan Perikatan Nasional untuk tujuan ditarik balik,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dimuatkan di Facebook.

Kenyataan itu dikeluarkan sejurus selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan permohonan bekas perdana menteri itu.

Hakim, Muhammad Jamil Hussin memutuskan bahawa pertuduhan ke atas Muhyiddin adalah cacat, tidak berasas dan kabur serta tidak selaras dengan Kanun Tatacara Jenayah.

Menurut Hamzah, keputusan itu membuktikan kerajaan Pakatan Harapan-BN telah menyalahgunakan kuasa mereka untuk menyerang pemimpin PN dan menyeru rakyat supaya bangkit dan menolak pentadbiran persekutuan.

“Kezaliman serta dendam politik kesumat kerajaan PH-BN yang sengaja mencipta fitnah, mengada-adakan pertuduhan serta menyalahgunakan kuasa bagi mendakwa pemimpin Perikatan Nasional terbukti di mahkamah hari ini,” katanya.

Muhyiddin pada Mac lalu memohon untuk dibicarakan berhubung empat pertuduhan salah guna kuasa dan tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM232.5 juta. Kes jenayah itu dikaitkan dengan program Jana Wibawa.

Empat pertuduhan salah guna kuasa, dirangka di bawah Seksyen 23(1) Akta SPRM 2009, menuduhnya menggunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan presiden Bersatu ketika itu, untuk dorongan RM232.5 juta daripada tiga syarikat dan seorang individu, antara 1 Mac 2020 dan 20 Ogos 2021.

Tiga syarikat itu ialah Bukhary Equity, Nepturis Sdn Bhd dan Mamfor Sdn Bhd, manakala individu terbabit ialah Azman Yusoff.

Muhyiddin kemudiannya memfailkan permohonan untuk membatalkan empat pertuduhan salah guna kuasa terhadapnya.

Dia mendakwa bahawa pertuduhan itu "cacat dan kabur dari sisi undang-undang" kerana kekurangan butiran yang bertentangan dengan Seksyen 354 Kanun Tatacara Jenayah dan dengan itu melanggar hak asasinya di bawah Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS