Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bersih ulangi gesaan Putrajaya, PN meterai perjanjian damai
Diterbitkan:  Aug 14, 2023 6:02 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Bersih mengulangi gesaannya agar kerajaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan PN menandatangani perjanjian damai bagi memastikan kestabilan politik berlaku selepas tamat pilihan raya negeri (PRN), Sabtu lalu.

Kata Bersih gesaan itu dibuat kerana tindakan menolak keputusan pilihan raya dan sentiasa ingin mengubah kerajaan pada pertengahan penggal adalah menghina kehendak rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen.

Cubaan sebegitu, kata kumpulan pendesak pembaharuan pilihan raya berkenaan, turut merosakkan kepercayaan kepada sistem kerajaan dan demokrasi.

“Di Malaysia, pilihan raya negeri dan persekutuan dilakukan setiap lima tahun atas sebab-sebab yang baik.

“Tempoh itu memberikan parti atau gabungan parti tempoh untuk mentadbir, membuktikan kemampuan mereka dan mampu bertahan untuk penggal seterusnya, atau diketepikan jika gagal.

“Rakyatlah yang berhak menentukan siapa yang mempunyai mandat setiap lima tahun, bukan ahli politik yang mahu merampas kekuasaan pada setiap peluang yang mereka sendiri cipta.

"Hal ini perlu dihentikan, cukup-cukuplah.

“Di Malaysia, pilihan raya persekutuan dan negeri kita diadakan setiap lima tahun atas sebab yang baik," katanya.

Sekarang, kata Bersih, adalah masa untuk setiap parti memberi fokus kepada pembinaan negara bangsa dan memainkan peranan masing-masing sama ada sebagai kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil dan rakyat yang bertanggungjawab.

Masa Anwar buktikan kata-kata

Sebelum ini Bersih sudah pernah mengusulkan perjanjian damai yang sama dengan memasukkan 10 penjajaran politik dan reformasi institusi seperti menetapkan tarikh PRU lebih awal, bukannya secara mengejut.

Bersih juga mengusulkan agar diwujudkan mekanisme tertentu termasuk untuk pengesahan undi percaya ke atas seseorang perdana menteri yang baru dilantik, atau undi tidak percaya berkonstruktif bagi menyingkirkan perdana menteri.

Bersih juga mahu kabinet bayangan daripada pembangkang diiktiraf dengan memberikan peruntukan sesuai kepada anggotanya, selain mendapat akses yang mencukupi bagi maklumat berkaitan.

Dalam kenyataan hari ini Bersih turut menggesa Anwar memimpin serta melaksanakan janjinya untuk melawan rasuah yang sistemik, selain pembaharuan reformasi institusi yang akan meletakkan asas kepada tatakelola yang lebih baik.

Menurut Bersih, dengan majoriti dua per tiga di parlimen, Anwar boleh melaksanakan reformasi perundangan yang sangat diperlukan tanpa bergantung kepada sokongan pembangkang.

“Bola kini di kaki perdana menteri dan dia dan kerajaan perlu membuktikan kelayakan untuk mentadbir negara dalam tempoh penggal sekarang yang berbaki empat tahun empat bulan lagi.

“Dia perlu memulakan semua reformasi tersebut dan menghulur tangan kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan bagi melaksanakan reformasi insitusi.

“Tanpa reformasi politik dan insitusi ini, kerajaan sekarang atau selepas ini akan kekal rapuh menghadapi kudeta pada pertengahan penggal dan tuduhan salah guna kuasa eksekutif.

“Akhirnya rakyat akan menilai kedua-dua gabungan ini melalui peti undi pada PRU ke-16,” kata Bersih.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS