Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ahli Muda gesa pemilihan parti untuk ganti kepimpinan
Diterbitkan:  Aug 13, 2023 8:27 PM
Dikemaskini: 12:27 PM

Seorang ahli parti Muda menggesa pemilihan parti bagi menggantikan kepimpinan sedia ada.

Gesaan itu hadir selepas siri kekalahan Muda dalam pilihan raya, bermula dengan pilihan raya negeri Johor 2022, pilihan raya umum ke-15 (PRU15), dan pilihan raya negeri 2023 yang berakhir baru-baru ini.

Danial Jafri menegaskan bahawa ahli jawatankuasa eksekutif pusat (JKEP) lantikan Muda gagal dan hanya menjadikan parti mereka regresif.

Dia juga mendakwa pendirian dan keputusan Muda tidak ditentukan secara telus dan dibuat tanpa mengambil kira pandangan atau penglibatan ahli akar umbi.

“Pelantikan JKEP tanpa pemilihan parti yang diamalkan kini tidak menghormati hak demokratik ahli dan tidak sejajar dengan asas penubuhan Muda iaitu perwakilan demokratik.

"Oleh itu, pemilihan parti perlu dijalankan bagi memastikan kepimpinan Muda yang berwibawa dan berintegriti dapat dipilih secara demokratik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Muda kalah di semua kerusi yang ditandingi di enam PRN Sabru lalu, dengan kesemua 19 calonnya di Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Selangor dan Terengganu kehilangan deposit.

Dalam tempoh berkempen, calon tunggal parti itu di Terengganu, Ketua Penerangan Muda Luqman Long, berkata dia akan meletakkan jawatan sekiranya kehilangan wang deposit untuk kerusi Bandar.

Pada pilihan raya negeri Johor 2022, hanya satu daripada tujuh calon yang menang, iaitu Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abdul Aziz yang memenangi kerusi Puteri Wangsa.

Bagi PRU ke-15, Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengekalkan kerusinya di Muar manakala lima lagi calon tewas.

Sementara itu, dalam satu langkah yang mengejutkan, Danial menggesa parti itu memperbaiki hubungannya dengan Pakatan Harapan (PH).

Dia menyatakan bahawa Muda harus menghentikan serangannya terhadap kerajaan perpaduan, dengan mengatakan bahawa PH-BN harus dilihat sebagai "sahabat dan bukannya musuh".

Oktober lalu, Muda menyertai pakatan pilihan raya dengan PH untuk PRU15 tetapi memutuskan untuk bergerak solo dalam pilihan raya negeri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS