mk-logo
Berita
Hawaii hangus: 89 maut, korban dijangka meningkat
Diterbitkan:  Aug 13, 2023 3:30 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

GLOBAL | Sekurang-kurangnya 89 orang maut dan ratusan lagi masih tidak diketahui nasibnya dalam kebakaran yang memusnahkan bandar bersejarah Lahaina di pulau Maui, Hawaii, dengan angka kematian dijangka meningkat.

Gabenor Hawaii Josh Green dilaporkan berkata bencana itu merupakan kebakaran hutan di Amerika Syarikat yang paling dahsyat dalam lebih satu abad.

Ketua Polis Daerah Maui John Pelletier pula dipetik media berkata angka kematian sebenar masih belum diketahui.

Walaupun kebakaran hutan di Hawaii kini sebahagian besarnya terkawal, usaha untuk memadamkannya sepenuhnya diteruskan di beberapa bahagian di pulau itu, termasuk di sekitar bandar Lahaina, yang terjejas teruk.

Dianggarkan lebih 2,000 bangunan, sebahagiannya kediaman telah rosak atau musnah sejak kebakaran itu berlaku pada Selasa lalu.

Angka korban yang baru dikeluarkan itu mengatasi bencana kebakaran Camp Fire 2018 di utara California, dengan 85 kematian dan memusnahkan bandar Paradise.

Seabad sebelum itu, Cloquet Fire 1918 membakar beribu-ribu rumah dan meragut 453 nyawa di utara Minnesota dan Wisconsin.

Didorong oleh musim panas yang kering dan angin kencang taufan, api marak menjilat kawasan hutan yang meliputi pulau Maui.

Kebakaran paling teruk melanda Lahaina pada Selasa dan menghanguskan hampir setiap bangunan di bandar dengan 13,000 penduduk itu.

Cuaca panas pada Julai dan Ogos telah menyumbang kepada kebakaran hutan yang luar biasa teruk di Eropah dan barat Kanada.

Para saintis dilaporkan berkata perubahan iklim, berpunca pembakaran bahan api fosil, telah menyebabkan kejadian cuaca ekstrem yang lebih kerap dan lebih kuat.



Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS