Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Loke akui kerjasama PH-BN bantu DAP di Negeri Sembilan

DAP menyifatkan kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan BN di Negeri Sembilan berjaya membantu calon parti itu menarik sokongan majoriti Melayu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata berbanding di negeri lain, PH-BN memenangi banyak kerusi di Negeri Sembilan dan ini akan memperkukuhkan lagi kerajaan perpaduan.

"Menampakkan kemenangan kita dengan BN menambah sokongan (untuk DAP). 

"Kita nampak dengan jelas ada kawasan di DUN Chennah dua penggal saya jadi Adun tak pernah menang tapi kali ini kita menang di PDM Kampung Chennah yang ada ramai pengundi Melayu dan pengundi orang Asli.

"Satu keputusan yang signifikan dan kita perlu memperkuatkan lagi kerjasama," katanya ketika ditemui di Seremban, malam tadi.

Gabungan PH dan BN berjaya membentuk kerajaan di Negeri Sembilan apabila menang 31 daripada 36 kerusi dalam Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-15 (PRU15).

PH menang dengan 17 kerusi,  manakala BN menang dengan 14 kerusi di Negeri Sembilan.

Di Selangor BN menang dua kerusi daripada 12 kerusi ditandingi, manakala di Kedah BN tewas di 15 kerusi ditandingi.

Manakala di Kelantan BN hanya menang satu kerusi di DUN Galas dan gagal memenangi sebarang kerusi di Terengganu.

Pulau Pinang, BN menang dua kerusi pada PRN kali ini.

Menurut Pengerusi PH Negeri Sembilan, Aminuddin Harun, PH-BN tewas di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan keputusan itu adalah sesuatu yang tidak dijangka.

"Kita tidak jangka kita tewas di lima kerusi kerana kita lihat mungkin ada beberapa perkara yang harus kita buat post-mortem lepas ini mengapa kekalahan ini berlaku dan bagaimana perkara ini harus diatasi," kata Aminuddin.

Kerjasama antara PH-BN diharap akan memberi kestabilan kepada kerajaan perpaduan di Negeri Sembilan.

"Saya yakin kerjasama antara PH dengan BN akan mewujudkan sebuah kerajaan perpaduan yang kuat, ramai tokoh-tokoh berpengalaman.

"Saya yakin ini adalah kerajaan yang sangat kuat, kerana masing-masing ada kekuatan," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS