Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Suara rakyat perlu diutamakan bukan suara pemimpin'
Diterbitkan:  Aug 13, 2023 10:29 AM
Dikemaskini: 2:46 AM

Ketua Pemuda Umno, Dr Muhamad Akmal Saleh menyifatkan keazaman parti itu untuk berubah perlu dilakukan jika tidak mahu ia terus dilupakan.

Justeru, katanya, pemimpin Umno mempunyai tugas untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada parti itu.

Tugas pemimpin Umno kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Umno.

“Membawa suara rakyat perlu diutamakan bukan suara pemimpin.

“Berani untuk berubah,jika kita tidak mahu Umno terus dilupakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Dr Muhamad Akmal mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN), di enam negeri semalam, yang menyaksikan Umno hanya menang 19 kerusi dewan undangan negeri (DUN).

Di Terengganu dan Kedah, Umno mencatatkan prestasi terburuk dengan gagal menawan atau mengekalkan sebarang kerusi. 

Pencapaian terbaik Umno adalah di Negeri Sembilan dengan parti itu memenangi 14 kerusi, dan masing-masing dua kerusi di Pulau Pinang dan Selangor, sementara di Kelantan, parti itu mengekalkan kemenangan di satu kerusi di DUN Galas.

Pada masa sama, Dr Muhamad Akmal yang juga Adun Merlimau, berkata di sebalik keputusan malam semalam, masih ramai rakyat yang sayangkan Umno.

"Ini kerana ramai yang bercakap mengenai kekalahan Umno yang besar, berbanding dengan kemenangan besar parti lain...maksud di sini ramai yang masih sayangkan Umno tetapi tidak percaya pada Umno.

"Justeru tugas pemimpin Umno kali ini adalah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat kepada Umno," katanya.

Ketua Pemuda Umno itu bagaimanapun, tidak menyebut tentang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menurut sesetengah pemimpin, khususnya pembangkang bahawa PRN ini merupakan referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH dan BN.

Daripada 108 kerusi yang ditandingi Umno di enam negeri, calon Umno  kalah teruk apabila 82 peratus disingkirkan.

Justeru, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata Umno sudah tidak lagi relevan dalam politik negara ini dan mencadangkan supaya Anwar Ibrahim dan Zahid mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan timbalan perdana menteri dengan serta-merta. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS