Malaysiakini menyiarkan keputusan pilihan raya di enam negeri secara langsung:
Rakyat mahukan perubahan - Muhyiddin
1:20am - Shah Alam, Selangor - Pengerusi Perikatan Nasional Muhyiddin Yassin berkata keputusan pilihan raya di enam negeri hari ini adalah petanda jelas bahawa rakyat mahukan perubahan.
Muhyiddin berkata PN akan melaksanakan janji manifesto di negeri yang dimenanginya, tetapi tidak akan mengabaikan tanggungjawabnya di negeri yang menyaksikan gabungan itu kalah.
PH boleh menang majoriti besar jika peratusan keluar tinggi
1:05am: Klang, Selangor - Menteri Besar Sementara Selangor , Amirudin Shari berkata PH tewas di empat kerusi dengan kurang 600 undi, menyebabkan gabungan itu hilang majoriti dua pertiga.
Amirudin berkata PH boleh memperoleh majoriti besar di negeri itu sekiranya peratusan keluar mengundi lebih tinggi.
Wartawan pekena saya, kata Sanusi
12.58am: Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor berkata dia tidak berniat untuk menayang kertas undi bertanda ketika mengundi hari ini.
Katanya, kertas itu terbuka secara tidak sengaja ketika dia kelam kabut melayan permintaan petugas media yang ingin mengambil gambar.

“Saya layan kehendak wartawan, tapi mereka perkena saya tang gambar itu, kalau saya nak pamer saya kena angkat macam tu (lebih tinggi),” dia dipetik sebagai berkata oleh Buletin TV3.
Dia juga mempertikai pihak media kerana menyiarkan gambar itu sedangkan “banyak lagi gambar yang elok”.
Terdahulu, media melaporkan Muhammad Sanusi hari ini didakwa melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, apabila secara sengaja menayang kertas undi kepada petugas media.
Ini kemenangan terindah, kata Aminuddin
12.39am: Menteri Besar sementara Negeri Sembilan, Aminuddin Harun menyifatkan keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) di negeri itu sebagai keputusan terindah.
Ini kerana kejayaan ini dicapai selepas mereka bekerjasama dengan BN.

Ditanya mengenai jawatan menteri besar, Aminuddin berkata dia tidak mempunyai masalah dan akan mengikut ketetapan seperti diumumkan perdana menteri.
"Saya rasa tidak ada masalah, seperti diumumkan perdana menteri sebelum ini," katanya ketika ditemui media di Seremban, malam tadi.
Sebelum ini ketika kempen PRN, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan Aminuddin sebagai calon menteri besar jika PH-BN menang di negeri itu.
Aminuddin turut mengumumkan hari Isnin sebagai cuti peristiwa bagi Negeri Sembilan.
Muda akui sukar bergerak solo
12.31am - Muda mengakui sukar bergerak secara bersendirian pada pilihan raya negeri dengan menyatakan parti itu sedar cabaran tersebut bukan mudah.
Bagaimanapun, presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata pengalaman itu merupakan satu langkah penting bagi parti itu untuk mempamerkan cita-citanya kepada umum.
"Ini adalah pengalaman yang sangat berharga bagi Muda dan saya bangga dengan setiap calon-calon kami.
"Namun kami berpandangan bahawa ini merupakan antara cabaran dan dugaan yang perlu kami hadapi untuk mengetengahkan pemimpin baru dan menzahirkan pendirian Muda kepada seluruh rakyat Malaysia," katanya.
Muda tewas kesemua 19 kerusi yang ditandinginya di enam negeri.
Zahid: Masa untuk bersatu hati dan bekerja keras
12.30am: Petaling Jaya, Selangor: Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata sekarang adalah masa untuk bersatu hati dan bekerja keras demi memastikan perpaduan dan kestabilan.
Dalam satu kenyataan, presiden Umno itu berkata PH dan BN telah berjaya mempertahankan Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
“Mandat yang diperoleh hari ini juga telah menjadi asas kepada kebersamaan parti-parti di bawah Kerajaan Perpaduan untuk terus bekerjasama dan memperkasa sinergi bagi mengekalkan Kerajaan Perpaduan untuk tempoh lima tahun akan datang," katanya.
Zahid juga mengucapkan tahniah kepada calon yang berjaya dan rakyat yang telah melaksanakan tanggungjawab mereka dalam menyuburkan demokrasi.
Kerajaan akan teliti keputusan p’raya
12:25am - WTC, Kuala Lumpur: Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil berkata keputusan pilihan raya di enam negeri adalah selari dengan dapatan yang dijalankan oleh beberapa firma kaji selidik.
Katanya, kerajaan akan meneliti keputusan pilihan raya di samping data tambahan daripada kaji selidik yang dijalankan untuk mendapatkan pemahaman lebih mendalam.
BN Kedah akur tewas kesemua 15 kerusi
12.20am: Pengerusi BN Kedah, Mahdzir Khalid - yang tewas di Pedu - mengucapkan tahniah kepada PN yang memenangi 33 daripada 36 kerusi DUN di negeri itu.
"Saya nak berpesan kepada semua ahli-ahli Umno dan BN untuk bertenang dan tidak menuding jari kepada mana-mana pihak.
“Kita telah berusaha menawan hati pengundi bukan hanya semasa kempen PRN sahaja, malah dari dulu lagi kita sentiasa berkhidmat kepada rakyat. Tapi apabila rakyat mengambil keputusan tidak memilih BN, kita redalah dengan ketentuan Allah," katanya dalam satu kenyataan.
BN kalah kesemua 15 kerusi yang ditandinginya di negeri itu.
PH-BN pertahan Selangor dengan majoriti mudah
12.12pm – Berdasarkan keputusan rasmi, PH dan BN berjaya mempertahankan Selangor dengan majoriti mudah.
Gabungan itu memenangi 34 daripada 56 kerusi DUN, dengan PH memenangi 32 kerusi dan baki dua kerusi lagi dimenangi BN.
PN pula menang 22 kerusi, menjadikan gabungan pembangkang itu memiliki suara yang kuat di DUN.

Kerajaan Perpaduan kekal kukuh - Anwar
11:55pm: WTCKL, Kuala Lumpur - Pengerusi PH, Anwar Ibrahim meminta semua pihak menghormati keputusan pilihan raya di enam negeri.
"Setelah bertarung bersungguh-sungguh kadang-kadang suhunya agak panas. Ini waktunya semua rakyat dari semua parti menang atau kalah harus bersilaturahim, menjaga keamanan negara dan menumpukan perhatian mengangkat martabat negara dan membela nasib rakyat," katanya kepada pemberita di bilik gerakan PH dan BN.

Perdana menteri itu juga menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan akan terus bekerja untuk membangunkan Malaysia Madani.
"Insya-Allah mulai Isnin kita akan terus bertugas bukan sahaja seperti biasa tetapi lebih tekun dan keras bekerja, supaya Malaysia akan mencipta kejayaan yang dibanggakan," katanya.
Rasmi: PH-BN menang majoriti besar di N Sembilan
11.54pm – PH dan BN memperolehi majoriti besar di Negeri Sembilan berdasarkan keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR.
Gabungan tersebut mendapat 31 daripada jumlah keseluruhan 36 kerusi DUN.
Daripada jumlah itu, PH menang 17 kerusi, manakala BN mendapat 14 kerusi. PN pula memperoleh lima kerusi.

Rasmi: PN sapu bersih di Terengganu 32-0
11.47 pm: PN secara rasmi menyapu bersih kesemua kerusi DUN di Terengganu.
Gabungan itu memenangi kesemua 32 kerusi di negeri itu, dengan menewaskan BN dan PH.

Yang penting majoriti dua pertiga - Chow
11:35 pm: Georgetown, Pulau Pinang - Ketua Menteri Sementara Chow Kon Yeow berkata, dia meletakkan sasaran untuk memenangi 30 kerusi di Pulau Pinang, tetapi menang 29 kerusi - kurang satu kerusi daripada jumlah yang disasarkan.
Namun katanya, apa yang paling penting ialah PH dan BN mendapat majoriti dua pertiga di Pulau Pinang.
PAS angkat sepanduk 'Bye Bye Umno'
11.24pm: Di bilik operasi PAS Kelantan, penyokong PAS mengangkat sepanduk bertulis 'Bye Bye Umno'.
Umno hanya memenangi satu kerusi di negeri itu.

MB Kelantan angkat sumpah 15 Ogos
11.15pm: Kota Bharu - Menteri besar dan barisan exco kerajaan negeri Kelantan yang baru dijadual akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos.
Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob berkata, pihaknya akan bermesyuarat pada malam ini atau pun pagi esok bagi membincangkan perkara itu.
“Kita Insya-Allah (menteri besar) akan mengangkat sumpah pada 15 Ogos,” katanya pada sidang media selepas mengisytiharkan kejayaan mempertahankan kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Terdahulu media melaporkan PAS membuat keputusan untuk menukar kepimpinan utama kerajaan Kelantan .
Ia antara lain membabitkan jawatan menteri besar dan timbalan menteri besar.

Chow angkat sumpah KM Pulau Pinang esok
11:15pm: Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata dia akan mengangkat sumpah esok untuk memulakan penggal baru sebagai ketua menteri.
Ini berikutan keputusan PRN di negeri itu yang menyaksikan PH-BN menang selesa untuk membentuk kerajaan negeri.
Gabungan itu memperoleh dua pertiga majoriti dengan DAP menang 19 kerusi, PKR (7), BN (2) dan Amanah (1).
PN nafi majoriti dua pertiga BN-PH di S’gor
11.15pm: Berdasarkan keputusan tak rasmi, PN berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH-BN di Selangor.
PN memperoleh 19 kerusi setakat ini, manakala PH dan BN mendapat 32 kerusi.
Dengan berbaki lima kerusi masih belum dikira, bermakna PH dan BN tidak akan dapat memperoleh 38 kerusi yang diperlukan untuk mendapat majoriti dua pertiga.
PN kuasai 3 kerusi DUN di Permatang Pauh
11.15 PM: Permatang Pauh, Pulau Pinang - PN mengekalkan penguasaannya di Permatang Pauh dengan memenangi ketiga-tiga kerusi DUN di kawasan itu.
Permatang Pauh sebelum ini merupakan kerusi tradisi keluarga Perdana Menteri Anwar Ibrahim. Bagaimanapun, anak perempuannya Nurul Izzah tewas di kerusi itu pada pilihan raya umum tahun lalu.
Rasmi: Hilman Idham pertahan Gombak Setia
11.12pm: Gombak Setia, Selangor - Hilman Idham berjaya mempertahankan kerusi DUN Gombak Setia dengan majoriti tipis 58 undi.
Calon bebas di kerusi itu memperoleh 1,076 undi.
Sanusi umum Kedah cuti esok
11.08 pm: Menteri besar sementara Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan esok sebagai cuti umum di negeri itu.

Ini berikutan keputusan tidak rasmi menunjukkan PN menang dengan majoriti besar di Kedah, apabila memperoleh 33 daripada 36 kerusi DUN.
Baki tiga kerusi dimenangi PH.
BN gagal menang sebarang kerusi di Kedah
11.02pm: BN gagal memenangi sebarang kerusi di Kedah, dengan 35 daripada 36 kerusi setakat ini sudah dikira.
PH memenangi dua kerusi, manakala PN mempunyai menang di 33 kerusi setakat ini.
Hanya satu kerusi yang belum diputuskan, Sidam, yang ditandingi oleh PH.
PN menuntut pengiraan semula di kerusi itu.
PAS umum berjaya pertahan Kelantan
11.00pm: Kota Bharu - PAS Kelantan mengumumkan secara rasmi berjaya mempertahankan kerajaan negeri dengan kemenangan lebih dua pertiga dewan undangan negeri (DUN).
Pesuruhjaya PAS Kelantan Ahmad Yakob berkata SPR telah mengesahkan secara rasmi PAS mendapat lebih dua pertiga kerusi untuk memerintah Kelantan sekali lagi.
“Dengan ringkasnya sebelum mengisytiharkan kemenangan, saya memohon kemaafan kepada semua pihak kalau berlaku apa-apa perkara yang tidak disenangi rakyat Kelantan.
“Terima kasih tidak terhingga kepada seluruh rakyat yang memberi sokongan yang besar dalam PRN kali ini.
“Kita berdoa dan bersyukur kepada Allah supaya Kelantan terus diberkati,” katanya ketika membuat pengumuman di pekarangan Pejabat PAS Kelantan, hari ini.

Rasmi: PN menang 43 daripada 45 kerusi di Kelantan
10.51pm – Keputusan rasmi untuk semua kerusi Kelantan sudah disiarkan, dengan Perikatan Nasional (PN) menang 43 daripada 45 kerusi.
Bagaimanapun, PN gagal menyapu bersih kerusi DUN negeri itu, dengan Amanah menang di Kota Lama dan Umno menang di Galas.

Pengiraan semula di Sidam
10.50pm: Alor Setar, Kedah - Seorang pegawai PAS memaklumkan penyokongnya di Komplek PAS di Kota Sarang Semut bahawa telah berlaku pengiraan semula di DUN Sidam.
Bagaimanapun, tidak jelas pihak mana yang meminta pengiraan semula.
Sidam, kubu kuat PKR, ditandingi oleh Bau Wong Bau Ek dari PKR dan Juliana Abdul Ghani dari PN.
Malaysiakini juga telah menghubungi PKR untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Chow: PH-BN capai majoriti dua pertiga di P Pinang
10:45pm: Georgetown, Pulau Pinang - Ketua menteri sementara Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata, menurut keputusan rasmi dan tidak rasmi yang diterimanya, gabungan PH-BN telah memenangi 29 kerusi di Pulau Pinang.
"Ini bukan sahaja cukup untuk membentuk kerajaan perpaduan Pulau Pinang, tetapi juga mencapai majoriti dua pertiga," katanya.

Ahmad Said gagal pertahan DUN Kijal
10.42pm: Pengerusi Umno Terengganu Ahmad Said gagal mempertahankan kerusi Kijal yang disandangnya selama sembilan penggal pada pilihan raya negeri Terengganu, lapor Bernama.
Bekas menteri besar Terengganu itu tewas kepada calon PN, Senator Datuk Razali Idris, yang mendapat majoriti 3,758 undi.
PN menang majoriti dua pertiga di Terengganu
10.41 pm: Perikatan Nasional memperoleh majoriti dua pertiga di Terengganu.
Gabungan itu memenangi 25 kerusi daripada 32 kerusi DUN di negeri itu, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
BN Kedah tutup penstriman keputusan langsung
10.40pm: Alor Setar, Kedah - Bilik operasi pilihan raya BN Kedah telah menutup penstriman keputusan secara langsung, berikutan pengumuman bahawa PN secara tidak rasmi memenangi negeri itu dengan majoriti mudah.
BN setakat ini gagal memenangi sebarang kerusi daripada 36 kerusi di negeri itu.
Pakatan Harapan secara tidak rasmi memenangi dua kerusi di Kota Darul Aman dan Bakar Arang.
Anwar tiba di WTC
10.34pm: Pengerusi PH, Anwar Ibrahim tiba di Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC). Ketibaannya disambut oleh para pemimpin BN dan PH.

PN rampas Derga dari DAP
10.30pm: Derga, Kedah - DAP kehilangan kerusi Derga kepada PN.
DAP telah menyandang kerusi itu selama dua penggal sejak 2013.
Derga dulunya kerusi campuran, tetapi terdapat pertambahan pengundi Melayu di kawasan itu selepas pendaftaran pengundi automatik dilaksanakan.
Menurut keputusan tidak rasmi PN memperoleh 14,433 undi, manakala DAP memperoleh 10,771 undi.
PH-BN kekal penguasaan di Selangor
10.25pm: PH dan BN secara tidak rasmi mengekalkan penguasaan di Selangor dengan memenangi 30 daripada 56 kerusi setakat ini.
PN, setakat ini menang di 11 kerusi.
Afif menang dengan majoriti tipis 30 undi
10.22pm: Calon PN, Dr Afif Bahardin berkata dia dimaklumkan kemenangannya di Taman Medan, Selangor dengan majoriti tipis 30 undi.
Afif mendapat 22,316 undi manakala calon PH, Ahmad Akhir Pawan Chik meraih 22,286 undi.
Afif pernah menjadi Adun PKR di DUN Seberang Jaya, Pulau Pinang sebelum meninggalkan parti itu untuk menyertai Bersatu pada 2020.

Zahid tiba di WTC, Mat Hasan ucap syukur
10.25pm: Pusat Dagangan Dunia KL - Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tiba kira-kira jam 10 malam disusuli timbalannya Mohamad Hasan.
Bagaimanapun Ahmad Zahid tidak bercakap kepada media sebaliknya hanya bersalaman dengan penyokong yang hadir sebelum berlalu ke dewan tempat pengumuman keputusan rasmi PRN.
Sementara itu, Mohamad menyatakan rasa syukur atas keputusan PRN Negeri Sembilan.
Diminta mengulas siapa calon menteri besar di negeri itu, Mohamad berkata ia bergantung kepada ketetapan Majlis Presiden Kerajaan Perpaduan.
“Kita (kerajaan negeri) cuma menamakan calon yang dirasakan sesuai menjadi menteri besar untuk kita mohon restu dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya.
Rasmi: PH-BN menang di Negeri Sembilan
10.21pm: Suruhanjaya Pilihan Raya mengumumkan PH-BN memenangi 22 kerusi DUN di Negeri Sembilan. Jumlah itu mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri.
PN menang dua pertiga majoriti di Kedah, Kelantan
10.17pm: PN memperoleh dua pertiga majoriti kerusi DUN di Kedah dan Kelantan, berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Gabungan itu setakat ini telah memenangi 25 kerusi daripada 36 kerusi di Kedah, dan 33 kerusi daripada 45 kerusi di Kelantan.

Azmin menang di Hulu Kelang
10.11pm: Azmin Ali menang kerusi DUN Hulu Kelang selepas semua peti undi dikira.
Bekas menteri besar Selangor itu menang kerusi berkenaan dengan majoriti 1,166 undi.
Aminuddin umum PH-BN menang 31 kerusi di N Sembilan
10pm: Menteri besar sementara Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata PH-BN secara tak rasmi menang 31 daripada of 36 kerusi.
PH menang 17 kerusi manakala BN 14 kerusi.
Kerusi pertama Gerakan sejak 2013
9.58pm: Kedah - Gerakan menyumbang satu kerusi untuk PN di Kulim, Kedah.
Kerusi itu dimenangi oleh Ketua Pemuda Gerakan Wong Chia Zhen.
Ini merupakan kemenangan pertama Gerakan sejak pilihan raya umum 2013.
Parti itu tidak memenangi sebarang kerusi pada pilihan raya 2018 dan 2022.
Azmin dilapor menang di Hulu Kelang
9.57pm: Beberapa media melaporkan kemenangan tidak rasmi Azmin Ali di Hulu Kelang.
Bagaimanapun, Malaysiakini difahamkan terdapat satu peti undi masih belum dikira.
Azmin kini memperoleh majoriti 1,008 undi.

Rasmi: PH dapat DUN pertama di Kelantan
9.50pm: Kota Lama, Kota Bharu - PH akhirnya berjaya meraih kerusi dewan undangan negeri (DUN) pertama di Kelantan.
Ia selepas calonnya daripada Amanah secara rasmi memenangi kerusi DUN Kota Lama dengan majoriti 206 undi.
Hafidzah meraih 9, 695 undi meninggalkan pencabar terdekat daripada PN Zamri Ismail yang meraih 9,489, calon bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary (85 undi) dan calon PRM Tan Boon Kian (126 undi).
PH-BN menang di P Pinang
9.50pm: Berdasarkan keputusan tidak rasmi, Pakatan Harapan-BN telah memperoleh majoriti mudah di Pulau Pinang.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan gabungan itu memenangi 22 daripada 40 kerusi di negeri itu.

Rina Harun kecundang di Batu Tiga
9.40pm: Batu Tiga, Selangor – Ketua Wanita Bersatu Rina Harun kalah di Batu Tiga kepada calon Amanah, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid, berdasarkan keputusan tak rasmi.
Danial memperoleh lebih separuh undi di kerusi itu dengan 27,434 undi, manakala Rina memperoleh 24,438 undi.
Muda di tempat ketiga dengan 1,652 undi.
Rina, bekas menteri pembangunan wanita dan keluarga, juga tewas dalam usahanya merebut kerusi parlimen Sepang pada pilihan raya umum November lalu.
Anak Noh Omar menang di Permatang
9.48pm: Nurul Syazwani Noh menang di Permatang, menewaskan pencabarnya, Mohd Yahya Mat Sahri dari PH dengan majoriti tipis 1,728 undi.
Nurul Syazwani ialah anak kepada bekas orang kuat Umno Selangor, Noh Omar.
Mohd Yahya menjadi modal utama pembangkang semasa kempen memandangkan dia pernah dipenjarakan atas tuduhan menipu.
BN tawan Dusun Tua
9.35pm: Dusun Tua, Selangor – Calon BN Dusun Tua Johan Abd Aziz mengucapkan terima kasih kepada pengundi di kawasan itu atas kemenangannya di sana.
Dusun Tua dimenangi oleh DAP pada pilihan raya lalu tetapi kerusi itu diberikan kepada BN untuk bertanding sebagai sebahagian daripada kerjasama PH dan BN.
Johan memperoleh 26,894 undi, manakala calon Perikatan Nasional Azhar Hambali mendapat 23,509 undi.
Muda ketinggalan jauh dengan 3,110 undi.
PN berjaya pertahan Kedah
9.35pm: PN secara tidak rasmi menang di Kedah dengan menawan 19 daripada 36 kerusi DUN - memperoleh majoriti mudah di negeri itu.
PN mengisytiharkan kemenangan di ibu pejabat PAS Kedah.

PH-BN umum menang di Negeri Sembilan
9.32pm: PH-BN mengumumkan gabungan itu menang 24 kerusi di Negeri Sembilan.
Ini bermakna jumlah itu cukup untuk membentuk kerajaan negeri, yang memerlukan sekurang-kurangnya 19 kerusi.
Perkara itu diumumkan menerusi Facebook Menteri besar sementara, Aminuddin Harun.
Keputusan itu diumumkan PH-BN Negeri Sembilan secara langsung dari Hotel Alson Kelana, Seremban.
PN rampas lapan kerusi PH, BN setakat ini
9.25pm: PN setakat ini telah merampas lapan kerusi daripada PH dan BN.
Di Selangor, PN telah menawan Ijok, Morib, dan Sabak daripada PH, serta Sungai Burong daripada BN dan PH.
Di Kedah, PN telah menawan Gurun dan Alor Mengkudu daripada PH, dan Sungai Tiang daripada BN.
PN juga telah menawan Kuala Balah di Kelantan daripada BN.
Sementara itu, PH telah menawan Kota Lama daripada PN di Kelantan, dan memenangi semula kerusi Lembah Jaya dan Teratai.
Amanah menang kerusi pertama di Kelantan
9.20 malam: Kota Lama, Kelantan – Berdasarkan keputusan dikeluarkan PAS, parti itu bakal kehilangan kerusi Kota Lama kepada Amanah dengan majoriti tipis 202 undi selepas semua peti undi dikira.

Calon Amanah, Hafidzah Mustakim mendapat 9,691 undi berbanding 9,489 undi yang diperolehi calon PAS Zamri Ismail.
Ini adalah kali pertama Amanah memenangi kerusi DUN di Kelantan.
Pengerusi BN, PH Kedah tumbang
9.10 pm: PRN kali ini menyaksikan dua pengerusi gabungan parti Kerajaan Perpaduan tumbang di Kedah. Sebanyak 45 daripada 53 peti undi telah dikira.
Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid hanya mendapat 6,891 undi berbanding 12,050 undi diperoleh calon PN di DUN Pedu.
PN sebelum itu merampas kerusi DUN Alor Mengkudu daripada Pengerusi PH Kedah, Mahfuz Omar.
PN dahului 42 dari 45 kerusi di Kelantan
9.10 malam: Kota Bharu, Kelantan - PN mendahului 42 daripada 45 kerusi berdasarkan keputusan tidak rasmi semasa.
Antara kerusi DUN yang telah selesai kiraan undi ialah Temangan, Gaal, Selising, Ayer Lanas, Kuala Balah, Manek Urai, Kijang, Chempaka dan Panchor.

Di DUN Pasir Pekan, penyandangnya Ahmad Yakob yang juga menteri besar sementara Kelantan merekodkan kemenangan dengan 12,235 undi majoriti.
Timbalannya pula Mohd Amar Abdullah berjaya mempertahankan DUN Panchor dengan majoriti 10,686 undi.
Sementara itu, DUN Kota Lama pula dimenangi Dr Hafidzah Mustakim mewakili PH dengan majoriti tipis 202 dengan menewaskan tiga pencabar.
PKR menang di Bukit Tengah, P Pinang
9.18pm: Calon PKR menang di Bukit Tengah, kerusi pertama parti itu di Pulau Pinang.
Ini menjadikan jumlah kerusi PH di negeri itu ialah 19.
PH-BN memerlukan sekurang-kurangnya 21 kerusi untuk membentuk kerajaan.
Altimet rampas semula Lembah Jaya buat PH
9.10pm: Lembah Jaya, Selangor – Penyanyi rap Syed Ahmad Syed Abdul Rahman Alhadad, lebih dikenali sebagai Altimet, berjaya merampas semula Lembah Jaya untuk Pakatan Harapan.
Penyandang kerusi itu ialah Haniza Mohamed Talha, yang memenangi Lembah Jaya pada 2018 di bawah tiket PKR, tetapi bekas ketua Wanita PKR itu dipecat daripada parti itu pada 2020.
Altimet mendahului keputusan tidak rasmi dengan 25,353 undi. Pencabar terdekat adalah calon PAS Sharifah Haslizah Syed Ariffin yang mempunyai 19,468 undi
Chow pertahan Padang Kota
9:10pm Georgetown, Pulau Pinang - Keputusan tidak rasmi menunjukkan Chow Kon Yeow berjaya mempertahankan kerusi di Padang Kota.

Chow mendapat 8261 undi dan menewaskan pencabarnya dengan majoriti 7116 undi.
Calon PN dari Gerakan H'ng Khoon Leng mendapat 1145 undi.
Belum ada laporan polis isu Sanusi tayang kertas undi
9:07pm: Bukit Aman, Kuala Lumpur – Selepas menteri besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor menayangkan kertas undi bertandanya awal hari ini, polis berkata ia masih belum menerima sebarang laporan mengenai kes sedemikian.
Jika ada laporan, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata ia mungkin disiasat sebagai kemungkinan kesalahan pilihan raya.
"Buat masa ini, memang tiada laporan polis lagilah sehingga pukul 6 petang. Kalau ada laporan dia menunjukkan kertas undi yang telah berpangkah, mungkin kesalahan yang kita boleh jeniskan di bawah Seksyen 5 Akta Kesalahan Pilihan Raya," katanya pada sidang media.
PN rampas Sabak, Ijok dan Morib
9pm: Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PN merampas kerusi DUN Sabak, Ijok dan Morib di Selangor daripada PH.
Selepas lebih separuh undi telah dikira, PN mendahului di Sabak dengan majoriti 4,313 undi, Ijok dengan majoriti 3,882 undi dan di Morib dengan majoriti 2,491 undi.
KPN: Jangan berarak raikan kemenangan
9:00pm: Bukit Aman, Kuala Lumpur – Ketua Polis Negara Razarudin Husain mengingatkan penyokong parti yang menang supaya tidak mengadakan perhimpunan atau perarakan malam ini untuk meraikannya.
Dia juga berkata polis akan mengadakan sekatan jalan raya di seluruh negara sejurus tengah malam ini, tetapi mendakwa ia hanyalah sebahagian daripada operasi bulanan untuk mencegah jenayah dan menjaga ketenteraman awam.
“Bukannya disebabkan PRN kita buat roadblock. Kita memang buat sekatan jalan hampir setiap bagi mencegah jenayah dan juga macam saya cakap tadilah, (untuk jaga) k etenteraman awam,” katanya.

Tak rasmi: Baddrol sumbang 'gol' buat PN Kedah
8.55pm: PN telah menawan Gurun daripada Pakatan Harapan.
Dengan 74 daripada 69 peti undi dikira, pemain bola sepak Baddrol Bakhtiar yang mewakili PN memperoleh 16,443 undi berbanding 10,758 untuk PH.
Calon PH Firdaus Johari, bertanding menggantikan bapanya Johari Abdul - yang kini Speaker Dewan Rakyat.

Tak rasmi: DAP pertahan Perai
8.50pm: Perai, Pulau Pinang – Keputusan tidak rasmi menunjukkan DAP berjaya mempertahankan kerusinya di Perai, yang sebelum ini disandang oleh bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang, Ramasamy Palanisamy.
Calon DAP Sundarajoo Somu mendahului dalam pertarungan empat penjuru dengan majoriti besar 8,140 undi, tidak meninggalkan peluang untuk calon lain mengejar.
Ini termasuk bekas ahli DAP David Marshel, yang sealiran dengan Ramasamy dan bertanding Perai sebagai calon bebas selepas dikecualikan daripada senarai calon DAP.
David mempunyai 1,313 undi, manakala calon Perikatan Nasional Sivasuntaram Rajalinggam daripada Gerakan mempunyai 1,388 undi.
Calon Muda Vikneswary Harikrishnan ketinggalan jauh dengan 345 undi.
Tak rasmi: Sanusi berjaya pertahan Jeneri
8.43pm: Menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memenangi kerusi Jeneri, menurut keputusan tidak rasmi.
Dua mempunyai majoriti lebih daripada 13,000 undi, dengan kira-kira 87 peratus daripada undi sudah dikira.

Tak rasmi: PH-BN perlu lagi 4 kerusi untuk menang di P Pinang
8.42pm: Keputusan tak rasmi menunjukkan PH kini mempunyai 17 kerusi daripada 40 kerusi di Pulau Pinang. Ia memerlukan empat lagi kerusi untuk membentuk kerajaan negeri.
Semua 12 kerusi itu dimenangi oleh DAP.
DAP bertanding di 19 kerusi di negeri itu.

Rasmi: PN tawan Sg Burong di Selangor
8.41pm: Sungai Burong, Selangor – PN secara rasmi menang di Sungai Burong, kerusi pertama gabungan itu di bahagian Selangor Utara.
Selangor Utara merupakan medan perang utama PN dalam misi menawan Selangor.

Tak rasmi: PN tawan Sungai Tiang di Kedah
8.40pm: PN telah menawan kerusi Sungai Tiang daripada BN, berdasarkan keputusan tak rasmi.
Dengan 82 daripada 97 peti undi sudah dikira, PN memperoleh 23,784 undi mengikut keputusan tidak rasmi, manakala BN ketinggalan dengan 8,586 undi.

Sunyi di Bangunan Tunku
8.25pm: Alor Setar, Kedah - Bilik operasi BN di Bangunan Tunku kelihatan sunyi dengan hanya beberapa wartawan yang berada di situ sejawal jam 6.30 petang tadi.
Pengerusi BN Kedah dan calon BN-PH untuk DUN Pedu, Mahdzir Khalid, dijangka datang ke sini tidak lama lagi.

Muda beri saingan di Dusun Tua
8.22pm: Muda memberi saingan di Dusun Tua di Selangor, dengan setakat ini kira-kira satu perempat daripada undi dikira.
Pendahulu dalam pertembungan tiga penjuru ini ialah Johan Abd Aziz dari BN dengan 19,569 undi dan Azhar Hambali dari PN dengan 18,720 undi.
Menariknya dalam pertarungan sengit ini, calon Muda Al Hafiz Ikhwan Mohammad Assan memperoleh 2,438 undi setakat ini.
Dusun Tua terletak di Parlimen Hulu Kelang dan pada 2018 dimenangi oleh Edry Faizal Edry Yusof dari PH dengan majoriti lebih 10,442.
Sebanyak 58 peratus pengundi di sana adalah Melayu.

PN rampas Kuala Balah dari BN
8.15 malam: Jeli, Kelantan – Berdasarkan keputusan tidak rasmi, kerusi DUN Kuala Balah di Jeli, Kelantan bertukar tangan.
PN berjaya merampas kerusi itu daripada BN dengan mendahului 2,430 undi setakat ini.
Calon PAS, Abdul Hadi Awang Kechil, memperoleh 5,319 undi manakala pencabarnya dari Umno, Muhammad Yamin Anuar Mat Zin mendapat 2,889 undi.

Sanusi di Kompleks PAS
8.12pm: Alor Setar, Kedah - Pengerusi PN negeri Muhammad Sanusi Md Nor dijangka tiba di Kompleks PAS di Kota Sarang Semut
kira-kira jam 9 malam ini untuk mengikuti perkembangan semasa keputusan PRN.
Petugas media sudah berada di kawasan berkenaan seawal jam 7 petang tadi.

Juwairiya di depan Azmin
8.11pm: Hulu Kelang - Calon PH, Juwairiya Zulkifli, terus melebarkan jurang dengan meninggalkan pencabarnya Azmin Ali dengan lebih 1,000 undi.
Juwairiya memperolehi 14,050 undi berbanding bekas menteri besar itu yang mendapat 13,065 undi.
Pengiraan undi masih berlangsung.
Jumlah itu adalah separuh daripada jumlah keseluruhan pengundi berdaftar di kawasan itu.

Tak rasmi: Galas milik BN-PH
8.05pm: Kota Bharu, Kelantan – Gabungan BN-PH berjaya menafikan usaha PAS-PN untuk menyapu bersih semua 45 kerusi DUN negeri itu apabila calonnya untuk kerusi Galas, Mohd Syahbuddin Hashim, sedang berada di depan dengan 9,969 undi.
Mohd Syahbuddin merupakan penyandang kerusi berkenaan.
Lawannya, Mohd Tarmizi Abd Rahman (PAS) mendapat 6,545 undi.
Galas mempunyai 59.5 peratus pengundi Melayu, 13.58 peratus Cina, 1.05 peratus India dan 25.86 lain-lain.

Mat Hasan menang di Rantau
8.08pm: Seremban - Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan memenangi kerusi DUN Rantau berdasarkan keputusan tidak rasmi.
Setakat ini Menteri Pertahanan itu mendahulu lawannya dengan perbezaan hampir 9,000 undi dengan kurang daripada 5,000 kertas undi yang belum dikira.

Guan Eng kekal Adun Air Putih
8pm: George Town - Keputusan tidak rasmi menunjukkan Pengerusi DAP mengekalkan kerusi Air Putih. Dia mendahului dengan memperoleh 8,032 undi berbanding pencabarnya yang mendapat 746 undi.

Balakong, Bandar Baru Klang milik PH
7.49pm, Selangor - Berdasarkan keputusan tidak rasmi, PH menang di kerusi DUN Balakong dan Bandar Baru Klang.
Meskipun kurang daripada 50 peratus undi yang dikira, calon-calon PH memperoleh lebih separuh daripada jumlah undi dalam pertandingan satu lawan satu menentang PN.
Balakong memiliki 55 peratus pengundi Cina, manakala Bandar Baru Klang mempunyai 68 peratus pengundi Cina.
Loke kekal Adun Chennah
7.55pm: Chennah, Negeri Sembilan – Setiausaha Agung DAP Anthony Loke mengekalkan kerusi yang dimenanginya sebelum ini. Dia menjadi Adun di situ sejak 2013.
Ketika ini dia sudah memperoleh lebih separuh daripada jumlah pengundi berdaftar di kawasan itu dengan 5,055 undi berbanding 3,089 yang dikumpul pencabarnya, Rosmadi Arif, dari Bersatu.
Chennah merupakan kawasan campuran dengan 46 peratus adalan pengundi Melayu, diikuti 44 peratus Cina, India 2 peratus dan lain-lain 7 peratus.

PN unggul di Guar Chempedak, Bkt Kayu Hitam
7.50pm: Alor Setar, Kedah - Keputusan tidak rasmi menunjukkan PN mengekalkan kerusi Guar Chempedak dan Bukit Kayu Hitam.
Di Guar Chempedak, dengan 40 daripada 58 peti undi sudah dikira, PN mendahului 12,667 undi berbanding 3,884 untuk BN.
Di Bukit Kayu Hitam, PN mendahului dengan 18,901 undi berbanding 6,639 undi untuk BN. Sebanyak 68 daripada 92 peti undi telah dikira.
Di kedua-dua kerusi itu, PN memperoleh lebih separuh daripada undi yang diperlukan.
Suee Lim pertahan Sekinchan
7.42pm: Sekinchan, Selangor – Ng Suee Lim mempertahankan kerusi Sekinchan untuk penggal keempat berturut-turut.
Berdasarkan kiraan tidak rasmi Ng memperoleh 8,862 undi dan ia sudah lebih daripada separuh jumlah pengundi berdaftar di kawasan tersebut.
Lawan Ng dari PN, Goh Gaik Meng, memperoleh 4,461 undi.

Sengit di Hulu Kelang
7.45pm: Hulu Kelang - Persiangan sengit berlaku di salah satu kerusi yang paling diperhatikan di Selangor.
Bekas menteri besar Azmin Ali mendahului calon PH-BN, Juwairiya Zulkifli.
Setakat jam 7.45 petang Azmin mendapat 2,186 undi manakala Juwairiya 1,933.

PH terus di depan di P Pinang
7.35pm: George Town – Keputusan tidak rasmi menunjukkan PH memenangi kerusi Batu Lancang, Bagan Jermal, Padang Lalang.
Calon PH sudah mendapat lebih daripada separuh undi di ketiga-tiga kerusi berkenaan.
PN di depan tapi BN merapat
7.35pm: Alor Setar, Kedah - BN mengekori rapat PN di beberapa kawasan DUN ketika ini.
Dengan 21 daripada 55 kota undi yang dikira setakat ini, Pengerusi BN Kedah Mahdzir Khalid mengumpul 3,201 undi untuk DUN Pedu, berbanding lawannya yang mendapat 6,056 undi.
PN turut mendahuluiu di Ayer Hitam, Bukit Kayu Hitam, dan Bukit Lada.

Semakin ramai di WTC
7.30 petang: Pusat Dagangan Dunia KL - Pada penyokong kerajaan perpaduan mula memenuhi pekarangan WTC untuk mengikuti perkembangan semasa keputusan di semua enam negeri.
Puluhan petugas media pula memenuhi ruang menunggu di pekarangan kerana masih tidak dibenarkan memasuki Dewan Tun Hussien Onn.
Difahamkan, Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersama pemimpin kerajaan akan berada di pusat pengumuman itu sekitar jam 8 malam ini.

Mohd Amar rapat di belakang
7.20pm, Kota Bharu – Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah mengekori rapat pencabarnya Syed Mohd Alidustur Syed Mohd Zain (PH) berdasarkan kiraan awal.
Mohd Amar yang menjadi penyandang memperoleh 358 undi berbanding Syed Mohd Alidustur yang mendapat 434.
Sementara itu PAS-PN sedang mendahului pencabar masing-masing bagi DUN Kelaboran, Wakaf Bharu, Bunut Payung dan Tendong.

PH Mendahului jauh di Balakong
7.23pm: Balakong, Selangor - Calon PH Ong Chun Wei menjarakkan lagi kedudukan apabila memperoleh 23,676 undi berbanding pencabarnya Lai Choon Wen (PN) yang hanya memperoleh 4,916 undi.
Ong berada di depan dengan perbezaan 18,760 undi atau kira-kira 30 peratus daripada keseluruhan pengundi berdaftar di DUN tersebut.
Pada 2018 calon DAP memenangi kerusi Balakong dengan majoriti lebih 35,000 undi.
PH juga mendahului jauh pencabar masing-masing di Kinrara, Bandar Baru Klang dan Pandamaran.
Tak rasmi: Kerusi kedua PH di P Pinang
7.25pm: Pengkalan Kota, Pulau Pinang - Satu lagi kerusi dikuasai PH apabila calonnya Wong Yuee Harng menguasai lebih daripada separuh undi.
Keputusan tidak rasmi menunjukkan Wong mendahului dengan 11,506 undi.
Calon PN pula sekadar mendapat 1,556 undi.
Tak rasmi: PH menang di Komtar
7.20pm: Komtar, Pulau Pinang - Keputusan tak rasmi menunjukkan calon PH Teh Lai Heng menang di Komtar.
Teh Lai Heng mendapat 7.520 undi, lebih separuh daripada jumlah jangkaan pengundi di situ.

PH mendahului di tiga kerusi di Negeri Sembilan
7.15pm: Negeri Sembilan - PH mendahului tiga kerusi DUN.
Di Rahang, PH mempunyai 5,180 undi, berbanding 2,250 untuk PN.
Di Bukit Kepayang, PH mempunyai 4,813 undi berbanding 942 untuk PN.
Di Bahau, PH mempunyai 3,558 undi berbanding 770 untuk PN.

PN mendahului di Sekinchan
7.10pm: Sekinchan, Selangor - Keputusan awal tidak rasmi menunjukkan pertarungan sengit dengan PN mendahului.
Goh Gaik Meng dari PN memperoleh 138 undian awal, manakala penyandang PH Ng Suee Lim memperoleh 86 undi setakat ini.
Sekinchan mempunyai 23,936 pemilih berdaftar secara keseluruhan.
PH mendahului di Kota Darul Aman
7.08pm: Kota Darul Aman, Kedah - PH mendahului dengan 2,203 undi berbanding 1,484 untuk PN.
Ini adalah kira-kira 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pengundi di kawasan bandar ini.
Kerusi ini adalah kerusi majoriti Cina (56 peratus).
Penyandangnya, Teh Swee Leong daripada DAP, memenangi kerusi itu pada PRU14 dengan majoriti 8,468 undi.

DAP mendahului di Pengkalan Kota
7.05pm: Pengkalan Kota, Pulau Pinang - Dengan lebih 5,500 undi masuk - hampir suku daripada jumlah pengundi berdaftar - DAP mendahului di Pengkalan Kota.
Menurut keputusan tidak rasmi, Wong Yuee Harng dari DAP mempunyai 5,383 undi, manakala S Karan Mayan dari PN ketinggalan dengan 243 undi.
Hampir 90 peratus daripada 21,568 pengundi berdaftar di Pengkalan Kota adalah Cina.

PN mendahului di Dusun Tua
7pm: Dusun Tua, Selangor - 2,000 undi pertama daripada Dusun Tua meletakkan Azhar Hambali dari PN mendahului dengan 1,517 undi.
Johan Abd Aziz dari BN mengekor dengan 520 undi, manakala calon Muda hanya mempunyai 22 undi setakat ini.
DAP telah menyerahkan kerusi itu kepada BN selepas rundingan kerusi.
Dusun Tua mempunyai 74,419 pengundi berdaftar.

Dua laporan kecurian identiti di S'gor
6.55pm: Petaling Jaya, Selangor - Dua laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan kecurian identiti pada pilihan raya negeri Selangor, lapor Sinar Harian.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh Shafa'aton Abu Bakar berkata laporan polis itu melibatkan dua pengundi di Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh dan Sekolah Menengah Kebangsaan Subang Bestari.
Dia menambah bahawa mangsa mendakwa mereka tidak dapat membuang undi selepas pegawai pengurus pilihan raya di dua pusat mengundi itu mendapati undi telah dibuat menggunakan nombor kad pengenalan mereka sebelum ini.
Sebelum ini, dilaporkan tiga laporan polis berhubung dakwaan kecurian identiti telah dibuat di Kedah.

Keputusan awal tak rasmi di Derga mula masuk
6.45pm: Derga, Kedah - Keputusan awal tidak rasmi awal di Derga menunjukkan saingan sengit.
Muhamad Amri Wahab dari PN memperoleh 398 undi, manakala Tan Kok Yew daripada PH memperoleh 363 undi.
Calon bebas Man Basiron memberi sedikit kejutan dengan setakat ini meraih 282 undi.
Bagaimanapun, masih terlalu awal untuk sebarang ramalan kerana Derga mempunyai 37,738 pemilih berdaftar.
‘Bas bawa polis, bukan pengundi hantu’
6.40pm: Petaling Jaya, Selangor - Polis menafikan klip video yang tular di media sosial mendakwa bas membawa pengundi hantu pada pilihan raya negeri Kedah.
Ketua polis negeri Fisol Salleh berkata bas dalam klip video itu adalah bas yang membawa sebahagian daripada 7,160 pegawai dan anggota polis yang ditempatkan untuk pilihan raya.
“Jadi kami telah menyewa sebanyak 34 buah bas yang mana 24 daripadanya dari luar Kedah dan 10 dari dalam negeri ini untuk menyelaras pergerakan kesemua anggota polis terlibat.
"Setelah kami lakukan semakan nombor pendaftaran, didapati bas yang terpampang dalam klip video berkenaan merupakan sebahagian daripada bas-bas yang kami sewa itu.
“Ketika rakaman itu dibuat, kesemua anggota yang menaiki bas sudah turun dan melaksanakan tugas masing-masing. Di sini saya beri jaminan bahawa apa yang dibangkitkan itu adalah tidak benar,” katanya seperti dipetik Utusan Online.

3 laporan kecurian identiti di Kedah
6.30pm: Petaling Jaya, Selangor - Polis menerima tiga laporan berhubung dakwaan kecurian identiti pada pilihan raya negeri Kedah, menurut Bernama.
Pengadu mendakwa nama dan kad pengenalan mereka digunakan oleh orang lain untuk membuang undi.
Ketua Polis Kedah Fisol Salleh berkata dalam kes pertama, seorang wanita datang mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) di Kulim tetapi pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberitahu dia telah ditandakan sebagai telah mengundi.
Kes kedua, juga di Kulim, melibatkan pengundi lelaki manakala kes ketiga, di Kuala Muda, melibatkan wanita lain
Polis sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 7 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pengundian di enam negeri ditutup
6pm: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak akan mengeluarkan kenyataan mengenai jumlah kadar peratusan keluar mengundi pada jam 6 petang atau waktu tamat mengundi sehingga keputusan rasmi dikeluarkan.
Bagaimanapun, undi dijangka tidak akan meningkat ketara dari jam 4 petang sehingga pengundian ditutup.
Peratusan keluar mengundi setakat pukul 4 petang, berbanding peratusan keluar mengundi pada PRU15 bagi setiap negeri adalah seperti berikut.
Kedah - 4 petang: 68 peratus; PRU15: 75 peratus
Kelantan - 4 petang: 56 peratus; PRU15: 69 peratus
Terengganu - 4 petang: 70 peratus; PRU15: 78 peratus
Pulau Pinang - 4 petang: 67 peratus; PRU15: 74 peratus
Selangor - 4 petang: 65 peratus; PRU15: 79 peratus
Negeri Sembilan - 4 petang: 62 peratus; PRU15: 75 peratus.
Berdasarkan rekod ini, peratusan keluar mengundi di Kelantan, Selangor dan Negeri Sembilan mungkin menurun dengan ketara.
Sementara itu, peratusan keluar mengundi di Kedah, Terengganu dan Pulau Pinang mungkin hanya berkurangan dengan margin yang kecil.

