Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Dua personaliti politik yang berdepan tindakan daripada pengawal selia internet Malaysia tampil menggesa kerajaan menunaikan janjinya untuk melindungi kebebasan bersuara, walaupun berdepan pendapat yang bertentangan.

Bekas ahli parlimen Wangsa Maju tiga penggal Wee Choo Keong dan pengguna Twitter Salim Iskandar hari ini hadir pada sidang media bersama peguam Rafique Rashid Ali di pejabat firma guamannya di Shah Alam.

Mereka nampaknya menempelak Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Wee berhujah dia dinafikan haknya untuk mendapat keadilan apabila Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat akses ke laman webnya bulan lalu, tanpa pemberitahuan terlebih dahulu.

“Anda tidak boleh menafikan hak seseorang untuk didengari.

"Sebelum anda mengambil tindakan, saya mesti mempunyai hak untuk didengar.

“Jika tidak, kami lebih teruk daripada Korea Utara," kata Wee, seorang penulis blog dengan lebih 1,000 artikel dalam tempoh 18 tahun lalu.

Katanya, akta komunikasi dan multimedia pertama kali digubal pada 1998 ketika kebanyakan platform media sosial semasa masih belum beroperasi, dan oleh itu undang-undang itu perlu dipinda ke arah melindungi lebih banyak kebebasan bersuara dalam talian.

Diwakili oleh peguam Rafique, Wee berkata sejak itu dia telah memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman bagi mendapatkan perintah untuk membatalkan keputusan SKMM, antara lain, dengan perbicaraan dijadualkan pada 30 Ogos depan.

"Proses wajar (dalam undang-undang) adalah satu kemestian. Isu utama di sini ialah mereka menafikan saya hak saya untuk keadilan semula jadi," kata Wee, yang juga bekas peguam.

Wee berkata mahkamah mengiktiraf proses sewajarnya walaupun tiada peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk SKMM memaklumkan tindakannya, mekanisme yang sama digunakan terhadap laman lucah dan perjudian haram.

Pada masa sama, Salim membidas kenyataan Fahmi semalam yang menjelaskan dia tidak tahu menahu mengenai tindakan terbaru SKMM menyekat portal berita UtusanTV.

“Bolehkah kita mempercayainya? Fahmi Fadzil dikenali sebagai salah seorang menteri yang paling aktif di media sosial.

"Seperti ketika kejadian band The 1975 berlaku pada waktu sebelah malam, keesokan harinya dia mengambil tindakan (membatalkan Pesta Good Vibes).

"Kenapa dia tidak boleh melakukan perkara yang sama untuk kita," kata Salim.

Menurut Salim, SKMM sejak Rabu telah menyekat dua nombor telefon bimbitnya tanpa notis terlebih dahulu, lebih sebulan selepas dia menghadapi siasatan polis berhubung ciapan di Twitter yang menyindir Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

"Walaupun undang-undang tidak menghendakinya, ia sepatutnya menjadi budi bicara untuk SKMM memaklumkan kepada kami sebab mengapa kami disekat," katanya.

Portal dalam talian MalaysiaNow sebelum ini melaporkan Salim telah menyiarkan dua ciapan yang mempersendakan kedudukan Anwar dalam poster kempen pilihan raya negeri yang memaparkan dia di belakang seorang calon.

Sementara itu, Rafique menegaskan PH sebelum ini berkempen menyokong kebebasan bersuara, tetapi kini gagal meminda undang-undang berkaitan termasuk akta komunikasi dan multimedia.

"Kerajaan yang ada sekarang ini telah menyatakan akan buat dua perkara. Sama ada memansuhkan akta SKMM atau membuat penambahbaikan.

"Apabila tidak ada sebarang usaha untuk memansuhkan atau membuat penambahbaikan, maka isu-isu seperti ini akan terus berulang.

"Jika (laman web) judi dan sebagainya, itu saya faham. Memang itu salah, block lah sebanyak mana," katanya lagi.

"Yang pelik adalah apabila mereka ini yang mengkritik kerajaan menerima layanan sama sedangkan phone kita setiap hari masih terima iklan judi dan lain-lain.

"Hak anda untuk bersuara, ada. Kalau nak disekat juga boleh mengikut undang-undang, tetapi beritahu lah, kenapa you block," soalnya.

Kumpulan prokebebasan media telah menggesa SKMM supaya telus dalam tindakannya susulan sekatan terhadap laman web, termasuk akses ke portal UtusanTV.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS