Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Agensi kerajaan jangka 44 kerusi DUN Selangor milik PH-BN

Kerjasama membabitkan PH dan BN dijangka membentuk kerajaan negeri Selangor dengan majoriti lebih dua per tiga dengan memenangi sehingga 44 kerusi dewan undangan negeri (DUN) esok.

Daripada jumlah itu, BN - yang bertanding di 12 kerusi - dijangka akan menyumbang sembilan kerusi untuk meneruskan pentadbiran sedia ada di Selangor.

Berdasarkan simulasi akhir yang dilakukan beberapa agensi dalam kerajaan, PN pula dijangka hanya akan memperoleh maksimum 12 kerusi khususnya di kawasan majoriti Melayu.

"Terdapat empat kerusi yang mesti diberikan tumpuan gerak kerja yang lebih komprehensif bagi memberi kemenangan margin selesa di Selangor," kata laporan itu seperti dilihat Malaysiakini.

Untuk rekod Selangor mempunyai 56 kerusi DUN secara keseluruhan. Jika berjaya memenangi 44 kerusi bermakna PH-BN akan membentuk kerajaan dengan majoriti mutlak.

Pagi tadi menteri besar sementara Selangor, Amirudin Shari, mengumumkan Isnin depan sebagai hari cuti peristiwa sekiranya gabungan PH-BN memenangi pilihan raya negeri (PRN) esok.

Dapatan melalui simulasi akhir agensi terbabit yang dibuat pada 9 Ogos itu turut meramalkan gabungan PH-BN bakal menang besar di Negeri Sembilan apabila mereka akan menyapu bersih semua 36 kerusi DUN.

Pada masa sama, agensi kerajaan menjangkakan PN berjaya mempertahankan kemenangan di tiga negeri yang ditadbir mereka sebelum ini iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Pun begitu BN-PH dijangka mampu menghantar 9 calon mereka ke DUN Kelantan, manakala lapan yang lain ke DUN Terengganu.

Sebagai perbandingan, hasil PRN ke-14 pada 2018, BN mempunyai lapan Adun dalam DUN Kelantan, dan seramai 10 di Terengganu.

"Di Pulau Pinang pula PN dijangka akan menang tiga kerusi DUN, dan selebihnya (37) dikuasai PH-BN," katanya.

Bekas menteri besar Selangor, Azmin Ali, yang mencuba nasib di DUN Hulu Kelang dijangka gagal mencapai kemenangan apabila kalah kepada calon PH, Juwairiya Zulkifli.

Calon lain yang dilihat dekat dengan Azmin, Hilman Idham, turut dijangka tewas kepada Pengerusi BN Selangor, Megat Zulkarnain Omardin, di DUN Gombak Setia.

Untuk rekod Malaysiakini tidak dapat mengesahkan secara bebas kesahihan maklumat tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS