Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Selangor cuti Isnin depan jika PH-BN menang esok
Diterbitkan:  Aug 11, 2023 11:34 AM
Dikemaskini: 4:31 AM

Kerajaan Selangor akan mengisytiharkan cuti peristiwa Isnin depan jika Pakatan Harapan (PH) dan BN memenangi pilihan raya negeri Selangor esok. 

Perkara itu diumumkan oleh menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari dalam amanat khasnya sebentar tadi.

Sementara itu, dia mengingatkan bahawa esok adalah tarikh penting dalam sejarah Selangor.

“Anda bakal menentukan masa hadapan negeri Selangor untuk tempoh lima tahun

akan datang,” katanya.

“Anda mempunyai pilihan antara gabungan yang akan meneruskan kejayaan, kecemerlangan dan kemajuan negeri ini ataupun gabungan yang hanya berminat untuk menggunakan Pilihan raya negeri ini untuk mencetuskan ketidakstabilan politik negara, terbukti tiada idea baharu dan tiada perancangan untuk negeri Selangor, negeri yang kita cintai ini.”

Dalam ucapan yang disiarkan secara langsung melalui akaun Facebooknya dan saluran Astro Awani, Amirudin turut menyorot bagaimana kerajaan negeri bawah pentadbiran PH sebelum ini mengendalikan pelbagai cabaran besar.

Katanya, ini termasuk banjir besar di Selangor pada Dis 2021 yang memberi kesan kepada 130,000 keluarga dan cabaran pandemik Covid-19.

“Pandemik Covid-19 mengajar kita untuk menilai semula sikap kita terhadap maksud kemajuan dan faham pembangunan.

“Ketika itu, kita rakyat Malaysia, khususnya kita Selangor, terpaksa berhadapan dengan cabaran kesihatan yang sengit dan kerajaan Perikatan Nasional yang gagal menangani krisis tersebut.

“Benarlah nasihat orang tua-tua kepada kita. Keberkatan itu sangatlah penting. Sikap khianat dan takabbur akan menjadi penghalang kepada kita untuk meraih rahmat Allah SWT,” katanya.

Dia dipercayai merujuk kepada pentadbiran Muhyiddin Yassin ketika itu, selepas kerajaan persekutuan di bawah PH tumbang ekoran insiden pengkhianatan Langkah Sheraton.

Katanya, kesan pandemik itu membuatkan majoriti rakyat Malaysia tidak mahu menoleh lagi ke belakang untuk merenungi episod menyayat hati itu.

Oleh itu dia berkata, ia menjadi pengajaran baginya dan pimpinan negeri Selangor untuk sentiasa tangkas berfikir untuk melaksanakan dasar demi kebajikan rakyat di negeri itu.

Calon PH Sungai Tua itu turut mengimbas semula bagaimana rakyat di negeri itu mampu bangkit semula dengan pantas selepas banjir besar pada Dis 2021 berbanding negeri lain.

“Walaupun lebih ramai rakyat Selangor yang terkesan akibat banjir berbanding negeri lain disebabkan jumlah penduduk yang tinggi, namun rakyat Selangor berjaya bangkit dengan lebih pantas jika dibandingkan dengan kawasan lain.

“Rakyat Selangor rakyat bermaruah, rakyat Selangor rakyat berprinsip, rakyat Selangor rakyat yang ada nilai dan akhlak, rakyat Selangor lah nadi kepada kejayaan negeri Selangor Darul Ehsan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS