Kemaraan jentera PN di pantai utara Selangor menyaksikan PH dan BN bakal menghadapi tentangan sengit pada pilihan raya negeri kali ini.
Ketika PRU15 pada November lalu, PN memanfaatkan 'tsunami Melayu' dan berjaya menawan tiga kerusi di bahagian utara Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar dan Tanjong Karang.
Namun, gabungan itu gagal merampas Kuala Selangor.
Sekiranya PN dapat mempertahankan tiga kerusi parlimen berkenaan dan meluaskan pengaruhnya dalam pilihan raya negeri ini dengan memperoleh tiga kerusi DUN di Kuala Selangor, ini bermakna keempat-empat kerusi parlimen di pantai utara Selangor bakal berada di bawah kawalannya.
Ini termasuk kerusi DUN Sungai Ayer Tawar dan DUN Sabak di Sabak Bernam, DUN Sungai Panjang di Sungai Besar, DUN Sungai Burong dan DUN Permatang di Tanjong Karang, serta DUN Bukit Melawati, DUN Ijok, dan DUN Jeram di Kuala Selangor.
Jika ini berlaku, PH-BN hanya akan dapat mempertahankan kerusi DUN Sekinchan di Sungai Besar yang terletak di utara Selangor.
Pada PRU15 lalu, Dr Dzulkefly Ahmad dari Amanah berjaya mempertahankan gelaran sebagai ahli parlimen Kuala Selangor.
Bagaimanapun, calon lawannya dari PAS mendapat peningkatan undi yang besar - hampir tiga kali ganda iaitu daripada 8,535 undi pada PRU 2018 - meningkat kepada 23,639 undi pada PRU2022.
Anwar turun padang
Keputusan PRU di Kuala Selangor menunjukkan tiga kerusi DUN yang dimiliki PH-BN di Kuala Selangor telah berubah dari kawasan 'kelabu' kepada kawasan 'hitam'.
Ini menyebabkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkempen di Ijok semalam dalam satu ceramah besar- kurang 36 jam sebelum hari mengundi - dalam usaha meraih undi.
Selain menyebut mengenai pencapaian Kerajaan Perpaduan, Presiden PH itu juga mengkritik pemimpin PN atas kegagalan mereka semasa berkuasa dan malah mendakwa mereka menyalahgunakan wang rakyat.
Dia juga mengingatkan ahli-ahli Umno bahawa Presiden PN, Muhyiddin Yassin dan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pernah merancang untuk mengharamkan Umno, namun dihalang oleh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi.
Berucap di hadapan kira-kira 600 orang yang menghadiri ceramah tersebut, Anwar meminta pengundi menyokong calon-calon PH-BN di tiga kerusi DUN di Kuala Selangor.
‘PN bantu kami’
DUN Bukit Melawati dan Ijok adalah kawasan majoriti Melayu dengan penyandang wakil rakyatnya adalah dari PKR.
Seorang pemimpin PH Selangor berkata, dua kerusi tersebut dikategorikan sebagai genting dengan PKR percaya parti itu hanya mempunyai peluang 50-50 untuk memenanginya.
Pada PRU15, pecahan undi bagi calon PN Kuala Selangor di DUN Bukit Melawati dan Ijok tidak melebihi 26 peratus dan lebih rendah daripada apa yang diterima oleh calon-calon PH dan BN.
Namun, kunjungan Malaysiakini di kedua-dua kerusi DUN berkenaan mendapati naratif PN lebih diterima baik oleh pengundi.
Ini termasuk dakwaan bahawa kerajaan Anwar tidak mampu mengatasi kenaikan kos sara hidup dan kritikan terhadap kerjasama dengan Zahid. Malah mereka juga percaya kerajaan PN yang lepas lebih memberi tumpuan kepada masalah rakyat.
Mina Isdrus, pemilik gerai nasi lemak di Bukit Melawati mengakui dia merupakan ahli Umno tetapi kini tidak berpuas hati dengan parti itu dan Anwar.
Dia mengadu rumahnya sebelum ini dirobohkan tetapi tidak menerima sebarang bantuan daripada Umno.
Sebaliknya, Mina berterima kasih kepada kerajaan PN atas bantuan yang diberikan semasa wabak Covid-19.
"Kita ingat semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), susah sangat, tak boleh keluar kerja, tapi lepas itu kita dapat vaksin. Siapa yang bantu kita masa itu? Muhyiddin," katanya.
Pemilik gerai tebu di Bukit Melawati yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad menyalahkan kerajaan Anwar atas kegagalan menstabilkan ekonomi, yang menyebabkan kenaikan kos sara hidup.
"Sebelum ini, RM11 boleh beli 1kg Milo, tapi sekarang RM17 atau RM18," katanya.
Pemilik gerai tebu, Rozita Talib, menyuarakan sentimen serupa dan memberitahu Malaysiakini bahawa semasa Muhyiddin menjadi perdana menteri, kehidupan masih dapat dapat diteruskan walaupun tidak dapat keluar bekerja semasa pandemik.
"Semasa covid, tak lah susah sangat, kini jadi makin teruk,” katanya.
Seorang pengundi Ijok yang hanya ingin dikenali sebagai Eddie berkata dia terlalu mengambil tahu isu politik tetapi mengakui sebelum ini menyokong Anwar dan PH kerana janji mereka untuk membasmi rasuah.
Bagaimanapun, Eddie berkata dia akan mengundi PN dalam PRN kali ini kerana kecewa apabila Anwar bekerjasama dengan Zahid, yang kini menghadapi kes rasuah.
Usaha Umno rampas semula kubu
DUN Jeram merupakan sebuah kawasan majoriti Melayu yang sebelum ini merupakan kubu Umno.
Namun Umno kehilangan kerusi tersebut pada PRU14 untuk kali pertama kepada Bersatu yang ketika itu masih bersama PH.
Pada PRN ini, PH memberikan kerusi tersebut kepada Umno, dengan harapan parti itu akan dapat menawan semula Jeram.
Namun, jika kadar keluar mengundi kekal sama seperti PRU15 - di mana separuh penyokong BN beralih kepada PN - kerusi tersebut boleh terlepas kepada PN.
Seorang pengundi Jeram yang hanya ingin dikenali sebagai Siyasifyadi (gambar di bawah) memberitahu Malaysiakini bahawa dia ingin memberi peluang kepada calon PN.
"Kita dah tahu Umno ni macam mana, sekarang nak cuba PN pula. Kalau mereka tak boleh buat lebih baik, kita ubah," katanya.