Pengasas Kumpulan Berjaya Vincent Tan memohon perintah sekatan mahkamah terhadap menteri besar sementara Kedah Muhammad Sanusi Md Nor.
Menerusi saman fitnah yang difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam dua hari lalu, Tan turut memohon mahkamah agar mengarahkan Sanusi membayar ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan.
Terdahulu, peguam Tan mengeluarkan surat tuntutan bagi menuntut Sanusi memohon maaf secara terbuka serta membayar ganti rugi RM200 juta berhubung dakwaannnya berkenaan projek pembersihan Sungai Klang, melibatkan Tan dan menteri besar sementara Selangor Amirudin Shari.
Writ saman merujuk ucapan Sanusi ketika berkempen di Dataran Darulaman di Jitra, Kedah pada 2 Ogos lalu yang dihadiri beberapa ratusa orang.
Menurut pernyataan tuntutan, Tan dan Berjaya Land Berhad - yang merupakan plaintif pertama dan kedua - menyangkal dakwaan itu dan berkata Sanusi menerusi surat balas bertarikh 8 Ogos enggan mematuhi tuntutan yang dibuat.
Plaitinf mendakwa dakwaan itu bukan sahaja tidak berasas dan tidak benar, tetapi dibuat dengan niat jahat dan demi kepentingan politik dan "retorik mengapi-apikan" oleh defendan.
'Publisiti murahan untuk pilihan raya'
Tan dan Berjaya mendakwa Sanusi tidak mengambil langkah wajar untuk mengesahkan dakwaan tersebut sebelum membangkitkannya dalam ucapan, dan mendakwa dia ingin meraih publisiti murahan dan sensasi demi manfaat pilihan raya dan peribadi.
Tan dan Berjaya juga mendakwa kenyataan Sanusi antara lain menggambarkan mereka sebagai korup, kroni kepada Amirudin, dan menyebabkan kerajaan Selangor menanggung kerugian RM180 juta ekoran tanah yang didakwa diberikan secara "percuma" dan menipu rakyat Selangor.
"Keparahan fitnah dan kesan buruk terhadap plaintif sangat besar...terutama di saat akhir kempen politik yang menjadi perhatian orang ramai, dan terus memberi kesan kepada plaintif dalam pelbagai bentuk sehingga kini.
"Plaintif memiliki reputasi bersih sebagai ahli perniagaan dan memiliki kedudukan terhormat dalam masyarakat di peringkat tempatan dan antarabangsa," kata mereka.
Mereka mendakwa dakwaan yang dibuat telah tersebar ke luar negara dan syarikat dan entiti perniagaan antarabangsa berisiko mendapat tanggapan buruk terhadap mereka.
Selain pelbagai bentuk ganti rugi, Tan dan Berjaya juga memohon injunksi agar Sanusi dilarang mengulang tuduhan yang didakwa sebagai fitnah tersebut.
Plaintif juga menuntut lima peratus faedah ke atas sebarang nilai yang ditetapkan mahkamah, kos dan relif lain yang dirasakan sesuai oleh mahkamah.
Malaysiakini sedang berusaha mendapatkan maklum balas peguam Sanusi berhubung perkembangan ini.