Paling Popular
Terkini

Selepas bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy, mengumumkan keluar DAP, seorang bekas Adun turut mengambil langkah sama.

Kali ini, bekas wakil rakyat Sabai di Pahang, D Kamache, mengesahkan tidak lagi dapat bersama dengan DAP mulai semalam.

"Saya telah menyerahkan surat keluar DAP kepada setiausaha agung parti (Anthony Loke) semalam," katanya kepada Malaysiakini.

Pernah menjadi Adun Sabai selama dua penggal Kamache berkata ia adalah satu keputusan yang sangat sukar baginya namun bertekad melangkah jauh dari DAP kerana terpaksa.

"Bagi saya, DAP hari ini bukan lagi parti yang sama seperti ketika saya menyertainya dulu.

"Tiada tempat dalam pemimpin India yang bersuara dalam DAP," katanya.

Semalam Kamache menyerahkan surat meninggalkan DAP kerana berkempen untuk seorang lagi bekas Adun parti itu yang tidak dicalonkan, M Satees.

Bekas Adun Bagan Dalam itu menyertai pilihan raya negeri (PRN) di Pulau Pinang sebagai calon bebas.

Kata Kamache dia masih tidak faham logik yang digunakan pucuk pimpinan DAP semasa menggugurkan Satees daripada bertanding iaitu dengan alasan mahu meremajakan parti.

"Satees berusia 38 tahun dan calon digantinya adalah Kumaran Krishnan berusia 45 tahun.

"Saya tidak faham logik ini. Dan sehingga kini pemimpin DAP termasuk Loke tidak menjelaskan kekeliruan ini.

"Sebagai ahli DAP saya boleh dipecat jika berkempen untuk calon bebas. Jadi, saya mengambil keputusan keluar parti kerana saya sedang berkempen untuk Satees," katanya.

Tambah Kamache, dia tetap berterima kasih kepada DAP kerana memberi peluang kepadanya untuk bertanding di DUN Sabai sebanyak empat kali.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS