Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Di Bayan Lepas, calon PH bukan lagi asing bagi penduduk

Petang Selasa itu, Taman Perda di Pulau Pinang yang biasanya sunyi, kelihatan meriah dengan kehadiran pengunjung pasar malam dan peniaga yang berniaga di situ.

Kali ini, keadaannya sedikit berbeza. Kira-kira 20 petugas parti yang memakai baju Pakatan Harapan sedang menjamu selera di sebuah restoran berhampiran, sambil menunggu ketibaan penyandang kerusi DUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir.

Apabila Azrul tiba, mereka bersama-sama menyapa setiap pengunjung pasar malam berkenaan.

Azrul hanya memakai kemeja, seluar slack dan kasut kulit, yang membezakan dirinya dengan calon lawan. Satu-satunya tanda untuk memperkenalkan diri sebagai calon ialah topi merah berlogo PH dan lencana yang dipakainya.

Ketika Azrul melalui pasar malam berkenaan dapat dilihat yang dia begitu dikenali dan mudah didekati orang ramai yang memberikan ucapan selamat kepadanya.

Jika bersalam dengan lelaki, Azrul berjabat dengan kedua-dua tangan dan menepuk bahu individu tersebut dengan tangan kirinya. Sebaliknya, ketika bertemu wanita, dia meletakkan tangan di dada dan menundukkan kepala sebagai tanda hormat.

Temu bual dengan Malaysiakini terganggu beberapa kali oleh pengunjung pasar malam yang ingin berjabat tangan dan berbual dengannya.

"YB! Kami pasti akan sokong kamu," kata seseorang di situ. "Pakatan Harapan!" jerit yang lain.

Ketika dia melewati gerai yang menjual mi, penjualnya mempelawa Azrul dan kumpulannya makan di situ.

"Pada hari-hari biasa, saya orang biasa. Semasa pilihan raya ini, orang ramai kelihatan sangat bersemangat," katanya.

Pada 2018, Azrul mencipta sejarah dengan menjadi Adun pertama dari parti bukan BN di Bayan Lepas.

Pusat khidmatnya terletak hanya sekitar 200m dari pasar malam tersebut.

Pencabarnya, Dominic Lau dari Perikatan Nasional, juga ingin mencipta sejarah di situ. Lau ialah presiden Gerakan.

Bagi orang luar, Azrul hanyalah "lawan Lau".

Namun bagi sebahagian penduduk tempatan di situ memberitahu Malaysiakini bahawa Azrul sememangnya tidak asing dan mudah didekati mereka.

Sesetengah penduduk berkata Azrul juga mudah dihubungi melalui telefon dan akan berusaha menyelesaikan aduan dan isu seperti banjir, kebakaran, ribut ataupun gangguan bekalan air.

Seorang pengundi berkata Azrul sering dilihat menaiki skuternya, bagi memeriksa kawasan pilihan raya di situ dan akan menghubungi pihak berkuasa apabila timbul sesuatu masalah.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Roslindah yang juga seorang ahli Umno memberitahu Malaysiakini bahawa Azrul sememangnya dikenali penduduk di situ.

"Beliau suka membantu. Contohnya, jika ada rumah mengalami gangguan bekalan air, tidak kira parti politik, kaum, atau agama, dia akan berikan bantuan dengan menghantar air.

"Jika ada rumah rosak dilanda ribut, beliau secara peribadi akan memberikan respons dan segera menyelesaikan isu itu," katanya.

Bayan Lepas merupakan kawasan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang. Kawasan berpantai ini merupakan zon industri perdagangan bebas di Pulau Pinang, dengan sektor utama ialah perikanan dan perkilangan.

Terdapat seramai 39,754 pemilih berdaftar di kawasan ini, yang mana kebanyakannya adalah Melayu (63 peratus), diikuti Cina (30 peratus) dan India (5 peratus).

Sejak lima tahun lalu, Azrul bersikap merendah diri dan jarang mendapat liputan media. Azrul mengakui bahawa dia bukan seperti ahli politik yang lain.

"Malah semasa pilihan raya negeri ini, sukar untuk saya minta orang ramai 'mengundi saya'. Kekuatan saya ialah saya tak ada banyak musuh.

“Semasa banjir Kampung Nelayan, apa yang perlu dilakukan pengundi ialah menghantar mesej WhatsApp kepada saya dan saya akan bantu dalam apa cara sekalipun,” katanya.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS