(Nota editor: Laporan ini pada mulanya menyatakan P Ramasamy tidak dimaklumkan berkenaan penggugurannya daripada Anthony Loke sendiri. Ia telah dibetulkan dan kesilapan ini dikesali.)
Pemimpin veteran DAP yang juga bekas timbalan ketua menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy mengumumkan keluar daripada parti itu.
Ramasamy berkata dia telah diketepikan dalam parti itu disebabkan seorang "maharaja" yang menjadi punca berlaku krisis dalam DAP Pulau Pinang.
Ramasamy - yang digugurkan sebagai calon untuk pilihan raya negeri Pulau Pinang - berkata dia telah berfikir panjang mengenai keputusan itu sebelum menghantar surat peletakan jawatan kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, serta Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Dia mengumumkan perkara itu semasa sidang media di bilik gerakan calon Bebas, David Marshall bagi kerusi DUN Perai, yang sebelum ini turut mengumumkan keluar DAP.
Ketika membacakan kenyataan medianya, Ramasamy mengulangi dakwaan bahawa pembersihan politik telah dilakukan dalam DAP Pulau Pinang, menyebabkan calon muda seperti Yeoh Soon Hin, Soon Lip Chee dan Satees Muniandy digugurkan.
Ini, katanya adalah usaha untuk menyingkirkan mereka yang dianggap menyokong ketua menteri sementara, Chow Kon Yeow.
Katanya "maharaja" berkenaan menjadi punca perkara itu berlaku, manakala senarai calon yang diberikan oleh Chow telah ditolak.
“Chow mungkin dilantik semula sebagai ketua menteri tetapi beliau tidak mempunyai sokongan kuat dalam barisan calon DAP sekarang.
"Ada kemungkinan Chow tidak akan berkhidmat sepenggal penuh sebagai ketua menteri, walaupun beliau telah diberi jaminan oleh kepimpinan pusat," katanya.
Penyandang DUN Perai itu berkata dia akan terus menyokong Chow dan kepimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
'Sertai kami tumbangkan maharaja'
Ramasamy berkata Satees, yang juga bertanding sebagai calon Bebas, dan David turut menyatakan pendirian yang sama.
Satees - yang mempertahankan kerusinya di Bagan Dalam - meminta penyokong DAP menyokong mereka dalam usaha menjatuhkan 'maharaja'.
"Kami mahu ahli dan penyokong DAP menyertai kami dalam menjatuhkan dinasti maharaja, dan membawa parti ini dan Pulau Pinang ke jalan yang betul."
Sementara itu, Ramasamy juga mengulangi rasa tidak senangnya terhadap cara DAP membuat keputusan untuk menggugurkannya.
Walaupun dia menerima keputusan itu, Ramasamy berkata dia kecewa dengan sikap Loke, yang juga bekas anak didiknya kerana tidak memberitahunya mengenai perkara itu lebih awal.
Sebaliknya, Ramasamy berkata Loke dan Pengerusi DAP Perak Nga Kor MIng hanya menyampaikan berita buruk itu di hari parti membuat pengumuman senarai calon.
Dia juga mendakwa masyarakat India kecewa dengan keputusan DAP menggugurkannya, selain mendakwa ada lagi individu dari DAP akan keluar parti tidak lama lagi.
Ditanya langkah seterusnya dan sama ada dia akan menubuhkan parti baru atau menyertai parti lain, Ramasamy menjawab dia masih belum memutuskan perkara itu.